SURVIVAL Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjadi fokus selepas Presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman didapati bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Persoalannya, mampukah parti politik junior yang sinonim dengan nama Syed Saddiq itu bertahan dalam arena politik negara?
Ia tatkala beliau kini perlu memperjuangkan nasibnya di Mahkamah Rayuan, setelah dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Tidak dinafikan, aura dan personaliti pemuda berusia 31 tahun itu antara tunjang kekuatan Muda sejak ia sah bergelar parti politik pada 23 Disember 2021.
Namun dengan keputusan Syed Saddiq mengosongkan kerusi Presiden Muda pada Khamis, mampukan nakhoda baharu Muda kepada Amira Aisya Abd Aziz memikul tanggungjawab berat itu?
Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Kedah, Firdaus Ramli berkata, walaupun Amira Aisya diangkat sebagai pemangku presiden, namun tanpa kehadiran Syed Saddiq, parti Muda mungkin gagal bertahan.
“Tanpa Syed Saddiq, Muda tidak mampu bertahan dalam arena politik kerana tiada pemimpin yang memiliki aura dan meraih sokongan pengundi.
“Pemimpin sebuah parti politik bukan sahaja perlu memiliki kualiti atau ciri kepimpinan tetapi aura dan personaliti yang boleh menarik sokongan pengundi dalam pilihan raya, selain memastikan parti ‘kelihatan’ dalam kalangan pengundi,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Tegas Firdaus, untuk pengganti Syed Saddiq, pilihan Muda terhad dan boleh dijangka memandangkan dalam hierarki parti Amira Aisya merupakan Timbalan Presiden.
“Barisan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) sedia ada ini tidak pernah teruji dalam pemilihan parti yang melibatkan akar umbi.
“Justeru, seluruh pimpinan sedia ada itu akan terus dibayangi sepenuhnya Syed Saddiq termasuk Amira Aisya,” katanya.
Jelasnya, daripada aspek kepimpinan, banyak perkara yang boleh dipersoalkan mengenai ketokohan Amira Aisya sebagai pemimpin politik.
“Kemenangan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, disumbangkan melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Ketokohan beliau sebagai pemimpin politik juga tidak begitu menonjol walaupun semasa menjawat jawatan Timbalan Presiden, sebaliknya lebih banyak dibayangi kenyataan politik yang mengundang kontroversi,” ujarnya.
Firdaus berkata lagi, sama ada Syed Saddiq berjaya atau gagal dalam rayuan untuk mengetepikan sabitan kesalahan itu, imejnya sudah pun tercalar.
“Imej Saddiq telah terkesan dengan sabitan ini sekali gus menjejaskan kredibiliti Muda secara langsung. Muda dan Syed Saddiq dilihat oleh pengundi sebagai satu entiti,” katanya.
Kasut besar Syed Saddiq
Sementara itu, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysi, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, Amira Aisya perlu menampilkan satu kelebihan berbanding Syed Saddiq.
“Amira Aisya perlu mengisi ‘kasut’ Syed Saddiq. Beliau perlu menampakkan satu kelebihan yang lebih besar berbanding bekas Presiden Muda itu.
“Jika gagal berbuat demikian, Muda akan ketandusan role model atau idola yang boleh diangkat anak muda sepertimana Syed Saddiq,” katanya.
**media[2419887]**
Sivamurugan turut berkata, sekiranya Syed Saddiq gagal dalam permohonan rayuannya, maka Muda akan berdepan cabaran mempertahankan kelangsungan politiknya.
“Antaranya, keupayaan kepimpinan baharu untuk menarik sokongan golongan muda. Seterusnya, implikasi hubungan dengan gabungan pembangkang atau kerajaan.
“Sudah tiba masanya untuk parti Muda menjenamakan diri melangkaui Syed Saddiq dan tampil dengan kepelbagaian idea serta isu yang boleh menarik minat golongan muda. Pada masa sama, meneruskan agenda parti,” katanya.
Bagi Penolong Profesor Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, masa depan politik Syed Saddiq terlihat kelam jika beliau gagal dalam rayuannya kelak.
“Sekiranya rayuan Syed Saddiq gagal, beliau akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam sekurang-kurangnya dua pilihan raya umum nanti.
“Buat masa ini, agak sukar untuk menjangka beliau mempunyai masa depan yang cerah dalam politik rentetan sabitan bersalah dalam kes terbabit,” katanya.
Jelasnya lagi, sama ada Muda masih berada di bawah pimpinan Syed Saddiq atau kepimpinan lain, parti itu berdepan cabaran besar untuk menarik sokongan disebabkan pengaruhnya masih sedikit.
“Tentang Amira Aisya yang menggalas amanah selaku pemangku Presiden Muda, kemampuannya mengemudi parti masih belum dapat dinilai, namun saya percaya beliau mempunyai pengaruh tersendiri yang kuat dalam parti,” katanya.