Ekonomi Sabah musnah kerana PH henti projek BN, kata Shabery

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) didakwa memusnahkan pertumbuhan ekonomi Sabah kerana menghentikan banyak projek Barisan Nasional (BN) yang bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini amat merugikan rakyat kerana projek itu memberi impak limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, antara projek besar yang dihentikan termasuk projek Pan Borneo Highway, Saluran Paip Gas Kimanis dan Loji Elektrik Sandakan.

Beliau menyifatkan projek berimpak besar memberi banyak pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, malah Pan Borneo di Sabah lebih besar daripada Sarawak iaitu dari Sipitang hingga ke Tawau.

"Ia adalah tulang belakang kepada sistem infrastruktur jalan raya negeri Sabah. Sewaktu pembinaan dan selepas pembinaan, lebuh raya tanpa tol ini sepatutnya menjadi asas kekuatan ekonomi negeri Sabah.

"Tulang belakang yang rosak boleh melumpuhkan seluruh tubuh badan. Sekali lumpuh, amat sukar membaik pulihnya kembali," katanya dalam catatannya di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pertumbuhan ekonomi di Sabah pernah mencapai tahap lebih lapan peratus pada tahun 2017 tetapi jatuh merudum kepada 1.5 peratus pada 2018 dan terus menjunam kepada 0.5 peratus pada 2019.

"Paling teruk sejak 19 tahun lalu, semua berlaku selepas Kerajaan PH mengambil alih. Bila Covid-19 melanda, pasti keadaan lebih parah kerana sektor pelancongan hampir terencat," katanya.

PRN Sabah
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular