Senarai calon UMNO, Bersatu diumum esok

PUTRAJAYA - Proses pembahagian kerusi antara UMNO dan Bersatu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah selesai dan ia akan diumumkan esok.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO dan Bersatu sudah mencapai kata sepakat berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam proses rundingan yang berjalan dengan harmoni.

“Saya boleh kata ia (pembahagian kerusi) telah 100 peratus selesai,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Bubur Asyura di Surau An-Najah di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, pengumuman calon yang akan bertanding akan dibuat Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadualkan pada 26 September ini. Hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini manakala hari mengundi awal, 22 September.

Annuar berkata, UMNO dan Bersatu akan memberi tumpuan di 45 kerusi yang majoritinya adalah Bumiputera Islam pada PRN Sabah itu, manakala baki 28 lagi kerusi pula akan ditandingi oleh parti-parti lain di bawah Perikatan Nasional (PN).

Beliau memberi bayangan tentang kemungkinan ada dua calon daripada PN yang akan bertanding di satu kawasan DUN.

“Kemungkinan ada beberapa kerusi dibenarkan oleh parti dalam PN untuk diletakkan lebih daripada satu calon.

“Contohnya kalau di situ ada Bersatu mungkin akan ada STAR. Kita kena kaji profil dan kekuatan masing-masing,” katanya. - Bernama

PRN Sabah BN UMNO
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular