KUALA TERENGGANU - Harapan mempertaruhkan dua calon wanita di Terengganu bagi PRU14 kali ini iaitu Ketua Wanita Pakatan Harapan Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar dan Bendahari Wanita Pakatan Harapan Terengganu, Fatimah Lailati Omar.
Sharifah Norhayati mewakili PKR dipilih menjadi calon Dun Telemong manakala Fatimah Lailati mewakili Bersatu bagi calon kerusi Dun Bukit Tunggal.
Pengerusi Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yakin, isu yang pernah dikaitkan dengan salah seorang calon wanita Harapan, tidak merencatkan perancangan pihaknya menawan Terengganu pada PRU14 ini.
Menurutnya, penilaian rapi telah dibuat dan peguam mereka juga menyatakan, ia bukanlah isu berat, sebaliknya hanya kes sivil.
“Kita tidak boleh buat pengadilan kepadanya, itu hanyalah tuduhan dan belum terbukti. Sesiapa sahaja boleh direman dan beliau belum terbukti bersalah. Undang-undang juga membenarkan (beliau bertanding).
“Saya tidak bimbang jika isu ini dimainkan kerana itu bukan perkara yang kita boleh sabitkan dengan undang-undang,” katanya.
Fatimah Lailati sebelum ini pernah disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 awal Januari lalu.
Ia berikutan beliau didakwa memuat naik status menghina Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di laman sosial.
Bagaimanapun, tindakan itu dikecam Harapan Terengganu yang menganggap, tindakan itu tidak wajar dan memberi persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk mengganggu gugat pimpinan politik pembangkang sebelum tibanya PRU14.