SPR mohon maaf halau media

BALAKONG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon maaf secara terbuka kepada petugas media susulan insiden dihalang memasuki pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana, pagi tadi.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar mengakui wujud salah faham terhadap arahan yang diterima pegawai SPR.

"Pertama sekali saya nak mohon maaf atas perkara yang berlaku tadi di pusat ini (Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana).

"Sebenar kita sangat jelas tentang arahan kita (SPR) bahawa media dibenarkan masuk ke pusat-pusat mengundi, media cuma tak boleh masuk di saluran sahaja," katanya ketika sidang media di pusat mengundi Sekolah Menengah Cheras Perdana, selepas tinjauan dilakukan.

Mohamed Elias menyatakan dalam kunjungannya sebelum ini juga timbul aduan sama dan telah diselesaikan segera.

"Sebenarnya mungkin ada salah faham antara saluran dan pusat mengundi.

"Kadang-kadang pegawai bertukar dan tidak jelas, jadi saya mohon maaf.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan media, SPR bersama media," katanya disambut tepukan petugas media yang membuat liputan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Wartawan dilarang masuk, ini kawasan saya']

Pagi tadi, seramai 20 orang petugas media dihalang memasuki pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana oleh Ketua Tempat Mengundi.

Media yang hadir ke sekolah berkenaan bagi membuat liputan sidang media SPR dihalang memasuki pekarangan sekolah.

Menurut pegawai SPR berkenaan, media tidak dibenarkan masuk kerana didakwa akan menganggu pengundi.

PRK Balakong
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :