chee teong anggap siew ki sebagai adik

BALAKONG –  Calon MCA bagi PRK Balakong, Tan Chee Teong berasa gembira dapat bersaing dengan calon PH, Wong Siew Ki yang sudah dianggap seperti adik kepada beliau.

“Siew Ki lebih muda daripada saya. Jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat, saya pasti akan membangkitkan isu setempat.

“Jika saya pula menang, saya berharap beliau akan mencari saya untuk mengutarakan isu, biar saya berusaha menyelesaikannya,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Selangor gagal semak dan imbang]

Chee Teong berkata, beliau dan Siew Ki bertanding secara adil dan bersih.

“Kami juga saling memberi kata-kata semangat antara satu sama lain,” katanya.

Chee Teong berkata, MCA juga mengalu-alukan pengundi di Balakong untuk mengundinya untuk memastikan berlakunya proses semak dan imbang di Dun Selangor.

“Sistem semak dan imbang sesuai pada era baharu ini. Jika rakyat fikir saya lebih sesuai berbanding Siew Ki, undilah saya. Pengundi harus pilih wakil rakyat yang berani bersuara memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata, jenteranya telah berkempen habis-habisan sepanjang tempoh berkempen 21 hari.

“Saya merupakan calon MCA yang julung kali menggunakan logo parti sendiri pada PRK, tanggungjawab yang saya pikul amat berat, tetapi saya tetap meneruskan perjuangan demi rakyat,” katanya.

Chee Teong berkata, beliau telah berjumpa lebih 3,000 penduduk, sehari, sepanjang tempoh berkempen.

“Saya akan bersalaman dengan mereka dan meluangkan masa mendengar masalah setempat,” katanya.

Tan Chee TeongWong Siew KiPRK Balakong
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :