PRK KKB: Pengundi Orang Asli, India penentu kemenangan PN - Razali

SHAH ALAM - Undi masyarakat Orang Asli dan India menjadi penentu kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, terdapat kira-kira 6,280 pengundi terdiri daripada kedua-dua kelompok berkenaan di kawasan itu.

"Sehingga setakat ini, kerajaan Perpaduan langsung meminggirkan harapan kaum India dan Orang Asli. Soal pekerjaan, pendidikan, kos barangan, kebajikan dan masa depan mereka seolah-olah tidak sampai kepada mereka. Orang Asli dan India adalah sebenarnya penenti kemenangan PN.

PN semakin diyakini pengundi India dan Orang Asli, lebih-lebih lagi pengundi India yang mengharapkan parti MIC sudah tidak maknanya. Pengundi India berasakan tiba masanya utk menyokong PN kerana bersuara tegas dan lantang demi rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambah Razali, pengundi Melayu pula menjadi harapan terbesar gabungan itu untuk merampas kerusi yang dimenangi kerajaan sebelum ini.

Beliau dalam masa sama yakin kaum majoriti di kawasan berkenaan telah menetapkan PN sebagai suara rakyat masa kini dan masa depan.

"Berdasarkan isu semasa sekarang, kira-kira 12,700 pengundi Melayu di sini tidak akan berdolak-dalik dengan kewibawaan PN apatah lagi parti Melayu dahulu, UMNO semakin lesu apatah lagi bersama DAP.

"Tidak mustahil pengundi Melayu menunjukkan solidariti undi kepada calon PN memandangkan DUN Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi wakil rakyat PN serta dua DUN lain iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali adalah Adun PN jua.

"Perlu diingatkan, sewaktu PRN lalu, PN mendapat peningkatan undi 30.85 peratus sekaligus menunjukkan peralihan sokongan berlaku walaupun tewas dan PN akan sasarkan kali ini untuk kurangkan undi majoriti bawah 1,000 undi walaupun bacaan undi majoriti sekitar 2,400 undi," katanya.

Menurutnya lagi, pembangkang juga mempunyai cara tersendiri mendekati pengundi Melayu terutama berkempen secara kelompok kecil dan menyantuni pengundi dengan kempen berfakta dan realistik.

"Malahan berdasarkan isu ekonomi berkaitan perniagaan yang masih tidak menentu serta soal pendidikan, kos sara hidup dan penempatan yang masih dipersoalkan, jangkaan aebahagian besar kira-kira 8,300 pengundi Cina beralih kepada PN," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!