Pengorbanan besar Mohamad Kamil demi parti

BANDAR KUALA KANGSAR - Penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid memuji tindakan Pemangku Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Mohamad Kamil Shafie yang tetap setia membantu perjuangan parti.

Menurutnya, meskipun nama beliau tidak terpilih menjadi calon namun bekas Adun Manong itu tetap setia dengan parti malah sedia bekerja memastikan kemenangan BN di Kuala Kangsar.

Tambah Mastura, Mohamad Kamil melakukan pengorbanan cukup besar dengan mengutamakan parti malah sedia bersama ketiga-tiga calon BN di kawasan itu.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada beliau kerana menunjukkan satu bentuk pengorbanan yang sangat tinggi.

“Dengan keadaan beliau baru pulih, tidak terpilih sebagai calon namun beliau tetap setia bersama perjuangan parti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mastura menasihatkan individu yang tidak terpilih menjadi calon supaya tidak berasa hati kerana mereka juga merupakan ‘orang hebat’.

“Saya faham perasaan semua pihak di mana ada rakan-rakan yang tidak berjaya menjadi calon dalam pilihan raya pada tahun ini.

“Saya pasti semuanya nanti akan ada tempat dalam macam-macam bentuk kerana semuanya terbaik. Elakkan terasa hati.

“Saya sendiri pernah melihat arwah Datuk Wan (Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad) melalui keadaan tersebut tapi beliau tak simpan dalam hati, beliau terus berjuang walaupun dalam kesedihan,” ujarnya.

Ketika ditanya peluang BN di Kuala Kangsar dalam PRU14, Mastura optimis BN mampu memenangi ketiga-tiga kerusi di kawasan tersebut.

“Saya anggap kita mempunyai peluang cerah sekiranya jentera parti bersatu, bermotivasi untuk bantu kemenangan BN.

“Bukan menang saja tapi kita nak naikkan undi popular. Saya optimis BN mampu capai kejayaan di Kuala Kangsar,” katanya.

Mastura Mohd YazidMohamad Kamil ShafieKuala Kangsar Manong
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular