PRN Kelantan Pas ingatkan pemimpin penyokong elak provokasi

TUMPAT - Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengingatkan pemimpin dan penyokong parti itu supaya bertindak profesional, saling menghormati bagi mengelakkan perbuatan provokasi atau pergaduhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Beliau berkata, tindakan khianat terhadap kain rentang dan bendera parti yang berlaku dilihat berunsurkan sabotaj serta mahu melaga-lagakan parti.

"Seharusnya perkara seperti ini ditangani secara profesional serta penuh bertanggungjawab bagi mengelakkan ahli dan jentera parti kita terbabit dengan perkara yang lebih buruk dan hanya akan merugikan parti kita.

"Khianat adalah satu perkara yang tak betul sebab dalam kita berparti dan negara demokrasi, kena hormat antara satu sama lain dan perbuatan itu (khianat) mungkin sabotaj nak suruh kita perlaga (melaga-lagakan) sebab sesetengah orang nak bagi tengok benda itu secara bertentangan. Jadi kita masuk (bertanding) secara profesionallah, penuh tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Smart Nego Centre di Wisma Purnama pada Khamis

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pada Khamis berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti sejak Sabtu lepas di Tumpat dan Kuala Krai serta mengesan empat lagi insiden serupa di sekitar Kota Bharu. - Bernama

 

Kelantan