KUALA TERENGGANU - Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas memutuskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan mengekalkan Muhammad Sanusi diputuskan dalam mesyuarat diadakan pada petang Rabu.
Jelas beliau, ia berikutan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu belum hilang kelayakan untuk bertanding dan hanya baru berdepan proses pertuduhan di mahkamah.
"Kita telah putuskan bahawa beliau (Muhammad Sanusi) dikekalkan sebagai (calon) pilihan pertama. Tak ada masalah sebab dia akan bicara pun pada Oktober nanti.
"Setakat ini kita tak meletakkan sebarang syarat kepada beliau sebab apa yang kita lihat, pertuduhan terhadap beliau itu lebih bersifat kepada usaha untuk menggugat (kedudukan) beliau. Kita akan lihat bagaimana proses pendakwaan ke atas beliau nanti, " katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri ceramah pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di sini pada malam, Rabu.
Beliau memberitahu, Pas juga bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berhubung keputusan yang akan dibuat mahkamah selepas proses perbicaraan ke atas Muhammad Sanusi.
"Kita ready (sedia) dengan apa-apa (kemungkinan) yang bakal berlaku sebab keputusan itu mengambil masa yang panjang. Kita akan tunggu dululah perbicaraan dia dan keputusan dia nanti. Selepas itu baru parti akan buat keputusan.
"Pertuduhan ke atas beliau (Muhammad Sanusi) pun lebih bersifat usaha untuk menekan. Tapi saya nak kata, beliau dianggap menghina raja, saya berulang kali dengar (ucapan) tak ada disebut pun (penghinaan) institusi diraja Selangor.
"Secara peribadi kalau berlaku kesilapan dalam ucapan beliau, mungkin tak ada sebarang sekatan kepada beliau dan beliau lebih tahu apa yang beliau perlu ucap dan sebagainya," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, isu melanda Muhammad Sanusi menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) sekali gus mendapat simpati termasuk dalam kalangan ahli UMNO sendiri.
"Saya nampak gelombang kemarahan dan kekecewaaan rakyat itu sangat tinggi terutamanya bila dia ditangkap pukul 3 pagi padahal dia dah buat keputusan akan hadir ke mahkamah.
"Dia menteri besar. Dia bukan ahli biasa, dia pemimpin, ketua negeri dan dia beritahu dia akan hadir ke mhkamah. Tiba-tiba pukul 3 pagi dia diserbu, ditangkap dan itu menimbulkan kemarahan.
"Apapun isu-isu berkaitan mahkamah ini kita serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan. Insya-ALLAH kita harapkan keadilan buat beliau, " katanya.
Selasa lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik minggu lalu.
Pemimpin itu juga dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.
ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan
Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah
Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi
Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik
Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim
Laungan takbir bergema iringi Sanusi
Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas
'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi
Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R
Polis ambil keterangan Dr Mahathir
Kertas siasatan kes Tun M dirujuk ke Pejabat Peguam Negara
Sanusi hilang status MB, kerusi ADUN jika bersalah