PRN Beberapa Exco DAP dari Pulau Pinang bakal digugurkan?

BUTTERWORTH - Beberapa nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP yang menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikatakan tidak dicalonkan semula pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung Ogos depan.

Mereka termasuk pemimpin veteran DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng.

Khabar angin itu jelas mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk beberapa persatuan tokong, persatuan peniaga dan masyarakat akar umbi apabila wakil rakyat mereka yang dikatakan telah banyak berjasa digugurkan begitu sahaja untuk digantikan dengan muka baharu atau calon luar.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Tan Boon Siew berkata, masyarakat di negeri ini terutamanya di kawasan Perai tiada masalah dengan pembaharuan yang mahu dilakukan oleh DAP dan Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu dengan menampilkan calon 'berdarah' muda namun bukan calon luar yang tak dikenali masyarakat setempat.

"Bila kami dengar ada nama lain pula yang akan dicalonkan di sini (Perai) pada PRN nanti membuatkan kami tidak puas hati...bukan calon yang lebih muda yang mahu DAP tampilkan malah lebih tua daripada wakil rakyat dan beberapa Exco sebelum ini.

"Selain itu, beliau juga tidak pernah berkhidmat dalam kawasan Perai, mahupun di kawasan lain, jika beliau bertanding ini tidak adil kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar di Taman Chai Leng di sini, pada Selasa.

Boon Siew berkata, sebagai penyokong DAP dan PH sejak sekian lama, mereka berharap parti lebih utamakan calon anak tempatan dan tidak dibawa masuk dari kawasan lain.

Beliau mempersoalkan apakah niat sebenar DAP dan PH berbuat demikan sehinggakan menyingkirkan wakil rakyat yang telah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Tegasnya, sekiranya ada pertukaran calon kali ini pihaknya mahu calon ditampilkan itu adalah individu yang mereka kenali dan pernah berkerja untuk membantu mereka selama ini.

"Kami serius terhadap perkembangan politik khasnya DAP dan tidak menolak ada percubaan jatuhkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

"Sekiranya kepimpinan DAP iaitu Setiausaha Agung, Anthony Loke masih nak teruskan hasrat untuk menukar calon sesuka hati tanpa mengira pendapat badan NGO dan masyarakat khasnya di Perai, maka kita tidak teragak-agak untuk menolak PH sebagai tanda protes keputusan DAP," katanya lagi.

 

Pulau Pinang