PRN PH-BN yakin tawan Kelantan

KOTA BHARU - Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu menawan Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang melalui rakyat yang mempunyai tahap pemikiran di peringkat universiti.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, sekarang ini dalam tempoh untuk menguatkan lagi jentera PH-BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada 12 Ogos nanti.

Menurut beliau yang juga Pengerusi PH Melaka itu memberikan kerjasama secara menyeluruh melalui kekuatan akar umbi yang ditunjangi BN dan PH di negeri Kelantan.

“Kita boleh tawan Kelantan, bukan suatu yang mustahil kerana kita tahu bahawa Kelantan disebut sebagai sebuah institusi rakyat yang mempunyai pemikiran di peringkat universiti.

“Politik cukup penting di negeri ini dan orangnya faham bahawa perubahan ini tidak akan mencemarkan ataupun mengancam institusi Islam dan kepimpinan Melayu secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap dalam Pentas Pemuda Perpaduan Kelantan di pekarangan Pejabat UMNO negeri di sini pada Isnin.

Adly juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kepimpinan baharu nanti akan dapat memacu Kelantan ke arah kemajuan ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang lebih baik terutama kepada golongan belia.

Dalam pada itu, berhubung tarikh pengumuman calon-calon yang akan ditampilkan oleh PH-BN di negeri ini, Adly berkata, pengisytiharan bagi PH akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat manakala BN akan memaklumkan senarai calon pada 21 Julai ini.

Menurut beliau, semua faktor persaingan turut diambil kira termasuk dalam kalangan bekas pemimpin UMNO dan turut yakin terhadap sokongan penjawat awam terhadap PH-BN di negeri ini.

“Persaingan diambil kira terutama dalam kalangan bekas pemimpin dan pemimpin sedia ada, tetapi calon nanti akan tetap dipastikan dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat Kelantan.

“Kerajaan Perpaduan mempunyai peluang di setiap DUN termasuk di kerusi kontroversi dan panas iaitu di Ketereh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama,” kata Adly.

Kelantan