KEPALA BATAS - Tata kelola dan kemajuan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow antara penyumbang utama rakyat Kedah menjadikan negeri ini tempat mencari rezeki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri itu, ia menyebabkan ada pihak yang berusaha untuk mengambil alih Pulau Pinang.
"Di Pulau Pinang, pelaburan, kecekapan, industri, peluang pekerjaan dan sebagainya, semuanya diurus oleh tata kelola yang baik oleh kerajaan negeri. Sebab itu, orang Kedah datang bekerja dan cari rezeki di sini kerana Pulau Pinang lebih maju.
"Dan disebabkan itu, ada (pihak) yang cuba nak rebut Pulau Pinang, nak ambil alih. Jaga lah negeri hangpa (kamu)," katanya ketika menghadiri program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang-Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji Kon Yeow yang mentadbir Pulau Pinang sejak 2018 lalu.
"Kemajuan pesat ini disebabkan oleh Kon Yeow yang menjaga Pulau Pinang dengan baik. Kalau Kon Yeow bekerja dengan baik, tidak ada cerita sakau (rasuah), tidak ada cerita zalim dan menindas, tiada alasan untuk rakyat negeri ini nak tukar kerajaan negeri dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
"Oleh itu, bagi lah sokongan kepada beliau supaya kita antara Kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat dapat bekerjasama dengan baik," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menimbulkan kontroversi apabila menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.
Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.
Susulan daripada itu, beberapa pihak termasuk beberapa pemimpin Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung kenyataan Muhammad Sanusi tersebut.