Kini masa selesai masalah rakyat: Zakaria

SEMENYIH – ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi yang diumumkan menang kerusi di DUN itu malam tadi berkata, tugas pertamanya adalah memberi tumpuan terhadap isu setempat yang dibangkitkan rakyat, di sini.

Menurut Zakaria, antaranya isu yang dibangkitkan oleh rakyat di Semenyih sebelum ini adalah berkaitan kepadatan pelajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching dan isu anjing liar.

“Saya menerima aduan daripada guru sekolah berkenaan yang memaklumkan jumlah pelajar semakin meningkat kerana banyak taman perumahan baharu di kawasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Semenyih BN punya!

“Seramai lebih 45 pelajar di tempatkan di sebuah kelas, hal tersebut menyebabkan pelajar berasa tidak selesa dan tidak dapat menumpukan pelajaran. Saya berharap perkara ini dapat disuarakan ke peringkat Kementerian Pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelasnya lagi, isu anjing liar juga memberi ancaman kepada pelajar dan penduduk di kawasan perumahan, di sini.

“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangannya, Zakaria meluahkan rasa syukur dipilih oleh pengundi di Semenyih untuk berkhidmat kepada mereka.

“Ia merupakan tanggungjawab yang harus saya pikul, sebelum ini saya orang biasa, kini sudah jadi pemimpin untuk menyelesaikan segala masalah rakyat. Insya-ALLAH saya akan melakukan sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada semua pengundi kerana memberi mandat ini kepada saya. Inilah yang dikatakan suara rakyat suara keramat,” katanya pada sidang media selepas melawat peniaga dan orang ramai di Pasar Semenyih, tadi.

BN memenangi PRK DUN Semenyih semalam selepas Zakaria memperoleh 19,780 undi iaitu majoriti 1,914 daripada pesaing terdekat dari PH, Muhammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi.

Zakaria HanafiPRK Semenyih