BAHAU - Pemilihan Naib Pengerusi MCA Jempol, Chong Wan Yu yang lebih dikenali sebagai Steven Chong sebagai calon kerusi Dun Bahau menerima pelbagai reaksi penduduk di sekitar kawasan itu.
Rata-rata penduduk yang ditemui Sinar Harian berpendapat Pengerusi JKKK Kampung Batu Bakar itu mampu membawa perubahan jika berjaya merampas kerusi disandang pembangkang sejak tiga penggal lalu.
Menurut kakitangan kerajaan, Rodziah Mat Piah, 57, calon dalam kalangan orang muda antara yang ditunggu-tunggu pengundi.
“Calon muka baharu ini diyakini dapat memberi perubahan dalam pentadbiran politik dalam Dun Bahau khasnya dan pembangunan secara amnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tukang Jahit, G Puranam, 44 berkata, dia yakin calon muka baru itu mampu menambat hati pengundi di Dun Bahau.
“Saya harap beliau menang, saya pun dah bekerja di Bahau ni lebih 10 tahun dan rasa selesa kalau Adun di sini dari parti BN.
“Lagi pun, Persatuan Tukang Jahit dan Kraftangan di sini sangat mengalu-alukan kehadiran beliau sekali gus bertemu dengan pengundi India,” katanya.
Bersedia berkhidmat
Berdasarkan komen yang terdapat di akaun Facebook Steven Chong, kebanyakkan netizen memberikan kata semangat dan ucapan tahniah atas pencalonannya menerusi PRU kali ini.
Salah seorang pelayar laman sosial Facebook, Koon Yok Mui meluahkan kata-kata semangat selain menyokong Steven untuk kemenangan BN.
Manakala seorang lagi pengguna Facebook, Chai Choong Wun turut memberikan komen yang sama.
Sementara itu, Steven ketika dihubungi berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin di Dun berkenaan dan akan menggunakan pengalamannya dalam parti untuk berkhidmat kepada rakyat.
Malah beliau sedikit pun tidak gentar apabila keyakinannya dipersoalkan berikutan calon pembangkang dari DAP juga penyandang Parlimen Rasah, Teo Kok Seong kembali semula ke Dun Bahau.
Steven berkata, dia tidak berasa terancam dengan pencalonan Kok Seong yang pernah menjadi Adun Bahau selepas menang pada PRU12 yang lalu.
“Pengundi sudah sedia maklum akan kehadiran saya pada PRU kali ini. Lagi pun saya sudah berada dalam kalangan kepimpinan masyarakat sejak menjadi Ketua Pemuda MCA lagi,” katanya.