‘anda belum tentu selamat’

JOHOR BAHRU - Pengerusi Harapan Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin dakwa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak yakin dengan kemampuan BN apabila beliau memberi amaran kepada rakyat negeri ini supaya tidak bereksperimen untuk memilih Pakatan Harapan (Harapan) sebagai kerajaan baharu pasca PRU14 nanti.

Katanya, kebimbangan Mohamed Khaled itu memiliki asasnya apabila rakyat di Pulau Pinang dan Selangor terbukti berpuas hati sewaktu mereka bereksperimen memilih pakatan pembangkang sebagai kerajaan baharu pada PRU 2008 lalu.

“Bahkan, sokongan mereka meningkat lagi dalam PRU13. Untuk rekod, Pakatan Rakyat berjaya memenangi 29 daripada 40 kerusi Dun Pulau Pinang pada PRU 2008.

"Di Selangor pula, Pakatan menang selesa dengan 34 kerusi Dun berbanding BN 22 kerusi.

“Di peringkat persekutuan pula, Pakatan telah memenangi 9 Parlimen daripada keseluruhan 13 kerusi di Pulau Pinang manakala 16 Parlimen daripada keseluruhan 22 kerusi di Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhyiddin berkata, peningkatan sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang  jelas terlihat selepas lima tahun mentadbir kedua-dua buah negeri berkenaan.  

Katanya, di Pulau Pinang, pakatan memenangi 30 kerusi Dun manakala di Selangor pula mereka memenangi 44 kerusi Dun dalam PRU13.

“Sebenarnya, peningkatan sokongan rakyat ini juga telah berlaku di Johor. Dari satu kerusi Parlimen, pakatan berjaya mendapat tiga lagi kerusi tambahan manakala dari enam kerusi Dun telah bertambah menjadi 18 kerusi pasca PRU 2013.

“Sememangnya wajar bagi Khaled untuk berasa tergugat dengan kemaraan rakyat yang mahukan perubahan menjelang PRU14 ini,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, Harapan Johor ingin menasihatkan Mohamed Khaled agar memberikan perhatian terhadap survival politik sendiri.

“Usah ‘jaga tepi kain orang’, anda sendiri belum tentu selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan Mohamed Khaled yang bertanding di dua kerusi dalam PRU14, masing-masing di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dun Permas menimbulkan satu tanda tanya.

“Apakah wujud gerakan tersusun oleh BN yang mahu menamatkan riwayat politik beliau selepas sepenggal mereka bereksperimen mengangkatnya sebagai Menteri Besar Johor?,” katanya.

Muhyiddin YassinMohamed Khaled NordinBN Pakatan Harapan Johor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :