Ahmad Shabery reda, Pas bolot empat kerusi

KEMAMAN - Bekas Ahli Parlimen Kemaman selama tiga penggal, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tumbang pada PRU14 kelmarin reda dengan pilihan dibuat rakyat.

Kemaman tidak terkecuali menerima tempias tsunami rakyat yang berlaku di negara ini sekarang selepas empat daripada lima kerusinya iaitu Parlimen Kemaman, Dun Kemasik, Dun Cukai dan Dun Air Putih dibolot Pas.

Bekas menteri kabinet yang bertanding buat penggal keempat di kerusi Parlimen Kemaman itu yang mendapat sebanyak 37,715 undi kalah di tangan calon Pas, Che Alias Hamid yang memperoleh 39,878 undi serta merekodkan majoriti kemenangan sebanyak 2,163 undi.

Shabery dalam entri Facebook beliau berkata, walau apa pun keputusan, semua pihak harus menerima keputusan itu dengan tabah.

"Saya reda dan menerima keputusan rakyat kerana rakyat lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk mereka.

"Terima kasih atas sokongan orang Kemaman selama ini. Semoga ALLAH berikan yang lebih baik. I love Kemaman," tulis beliau.

Dalam pertembungan tiga penjuru kelmarin, calon PKR, Mohd Huzaifah Md Suhaimi pula mendapat 12,911 undi.

Selain kerusi Parlimen Kemaman, keputusan mengejutkan juga berlaku bagi kerusi N32 Air Putih kerana ia berjaya dirampas Pas dan Pas turut menawan N29 Kemasik serta mengekalkan kemenangan di N31 Cukai.

BN hanya berjaya mempertankan kerusi N30 Kijal yang ditandingi penggal kelapan berturu-turut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Rakyat tolak BN kerana tekanan hidup

Sementara itu, Che Alias yang kini bergelar Ahli Parlimen Kemaman baharu berkata, kemenangan besar Pas pada PRU14 ini hingga berjaya berlaku peralihan kuasa di Terengganu disebabkan rakyat sudah tidak tahan dengan tekanan hidup yang dilalui mereka.

"Kos sara hidup tinggi yang turut dipengaruhi dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) membuatkan rakyat membuat penilaian.

"Perkara-perkara ini memberi kelebihan kepada Pas hingga rakyat memberi undi kepada kita," katanya.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman itu berkata, pihaknya sebelum ini memang meletakkan keyakinan awal akan memenangi kerusi N31 Cukai dan N29 Kemasik.

"Sokongan rakyat terhadap Pas di N32 Air Putih pula kita dapat lihat pada saat-saat penghujung kempen PRU14. Kemenangan di tiga kawasan Dun, ia beri kelebihan kepada kita untuk turut menawan kerusi Parlimen Kemaman.

"Saya ucap terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada Pas khususnya di Parlimen Kemaman," katanya.

N31 Cukai raih majoriti berganda

Dalam pada itu, Hanafiah Mat yang mempertahankan kerusi N31 Cukai untuk penggal kedua bersyukur dengan majoriti kemenangan sebanyak hampir sekali ganda yang diraihkan kelmarin berbanding pada PRU13.

"Terima kasih kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepada kami (Pas) untuk sekali lagi memberi khidmat dalam Dun Cukai.

"Dari rakyat kami datang dan kepada rakyat kami kembalikan hak mereka selain kami juga akan menjaga kebajikan," katanya.

Hanafiah yang memperoleh 12,428 undi menang kerusi itu dengan majoriti 4,881 undi mengalahkan calon BN, Datuk Mohamed Awang Tera yang menerima 7,547 undi dan calon PKR, Wan Mohd Anies Wan Mohd Adnan mendapat 5,104 undi.

Pada PRU lalu, Hanafiah merampas Dun Cukai dari BN dengan majoriti kemenangan 2,446 undi.

Pertama kali Pas menang di Dun Kemasik

Dalam pada itu, pemenang kerusi N29 Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, PRU14 mencatat sejarah cemerlang kerana setelah 13 kali PRU di kawasan itu, Pas buat pertama kalinya berjaya mencapai kemenangan.

"Terima kasih kepada seluruh pengundi kerana beri sokongan kepada Pas dan InsyaALLAH kita akan berusaha sedaya upaya memberi perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan Kemasik sejahtera," kata beliau.

Rampas semula Dun Air Putih selepas tiga penggal

Adun Air Putih yang baharu pula, Ab Razak Ibrahim berkata, kemenangan Pas di kawasan kubu kuat BN itu adalah kerana sokongan semua petugas kempen dan kesedaran pengundi untuk melakukan perubahan.

"Dengan izin ALLAH selepas tewas pada 2004, 2008 dan 2013, Pas akhirnya kembali menang  di Dun Air Putih. Pada tsunami politik 1999, kita sudah menang di kerusi itu," katanya.

Ab Razak yang lebih dikenali dengan nama panggilan Cikgu Razak mendapat 12,985 undi mengalahkan calon BN (penyandang kerusi), Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang mendapat 12,239 undi manakala calon PKR, Mohd Zukri Aksah meraih 2,195 undi.
 

Ahmad Shabery CheekChe Alias HamidKemaman Pas BN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular