STAR bergabung dengan BN bentuk Kerajaan Negeri Sabah

KOTA KINABALU – Parti  Solidariti  Tanah Airku (Star) bergabung dengan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah selepas mempunyai 31 Adun.

Star memenangi dua Dun di Tambunan menerusi presidennya Dr Jeffery dan Robert Tawik (Dun Bingkor) pada PRU14 semalam.

BN Sabah pula memenangi 29 kerusi Dun dan tambahan dua kerusi itu membolehkan BN dan Star bergabung untuk membentuk kerajaan negeri.

Pada sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya di sini, hari ini, Dr Jeffery berkata dia dan Robert mengambil keputusan untuk mengadakan gabungan dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri Sabah.

“Kami memutuskan bekerjasama dengan 29 Adun BN untuk membentuk kerajaan negeri Sabah secara gabungan. Saya rasa ini perlu untuk kestabilan negeri ini dan kelancaran membentuk kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman berkata dengan 31 kerusi Dun menerusi gabungan dengan BN itu membolehkan majoriti mudah diperolehi untuk membentuk kerajaan negeri Sabah.

“Saya telah diberi mandat oleh kesemua 31 Adun untuk menerajui kerajaan negeri Sabah sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Mengenai dakwaan lima ADUN BN dari UPKO telah menyertai Parti Warisan, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana kelima-lima mereka ada bersama untuk membentuk kerajaan negeri Sabah.

Katanya apa yang penting sekarang ini adalah meminta jasa baik Yang Dipertua Negeri Sabah untuk memberi peluang kepadanya untuk mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri Sabah dengan adanya sokongan 31 Adun di negeri ini.

Keputusan PRU14 semalam menyaksikan BN Sabah memperolehi 29 kerusi Dun , Parti Warisan (21), DAP (enam) dan PKR (dua). - Bernama

JefferyRobert TawikTambunan Bingkor)
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :