Dr Khairuddin harap proses mengundi selesai awal

KUALA NERUS - Calon Pas bagi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengjangkakan proses pembuangan undi di kesemua pusat mengundi di daerah Kuala Nerus dapat diselesaikan lebih awal.

Menurutnya, jangkaan itu dizahirkan setelah melihat komitmen dan ‘mood’ diberikan pengundi yang dilihat keluar mengundi seawal jam 8 pagi.

“Alhamdullillah saya melihat rakyat begitu bersemangat untuk keluar mengundi, malah saya lihat selepas jam lapan pagi sudah ramai yang beratur panjang di saluran mengundi masing-masing.

“Saya rasa mungkin pengundi inginkan satu perubahan jadi sebab itu mereka bersemangat keluar mengundi awal. Saya harap kita dapat selesaikan awal hari ini dan kalau boleh sebelum jam tiga kita dah menjangkau 60 ke 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membuang undi pada jam 8.20 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu melahirkan keyakinan Pas mampu memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk kembali mentadbir Terengganu setelah melihat ‘mood’ dan tinjauan dilakukan bahawa rakyat inginkan perubahan.

Justeru, kita mengharapkan agar rakyat dapat terus memberi mandat kepada Pas, bukan sahaja kepada negeri bahkan juga Malaysia.

Selepas selasai mengundi, DR Mohd Khairuddin dijangka akan terus ke Kem Pengakap sebelum melawat kesemua tempat mengundi bermula di Seberang Takir, Tepuh, Bukit Tunggal dan Buluh Gading.

Sementara itu, Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ditemani isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria turut mengundi di pusat pembungan undi yang sama pada jam 9.15 pagi.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman RazaliKuala Neruspas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :