Hashim tidak diiringi penyokong

ARAU – Calon Pas bagi Parlimen Arau, Hashim Jasin membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Saffi (SMKSS), Simpang Empat, di sini, hari ini.

Mursyidul Am Pas itu tiba di pekarangan pusat pembuangan undi tanpa diiringi penyokong parti kira-kira jam 8.30 pagi.

Hashim yang memakai baju kemeja berwarna hijau juga sempat beramah mesra dengan anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pembuangan undi.

Beliau kemudian membuang undi di saluran satu SMKSS kira-kira jam 9.20 pagi.

Sementara itu, Hashim ketika ditemui menyatakan bahawa keadaan kempen PRU14 jauh berbeza dengan beberapa pilihan raya sebelum ini.

"Saya melihat pengundi sekarang sudah matang dan pandai buat pilihan untuk menentukan bakal pemimpin mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Kerusi Parlimen Arau menjadi tumpuan ramai apabila melibatkan dua tokoh besar iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan tokoh utama Pas.

Walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14, namun kehadiran calon Pakatan Harapan, Datuk Dr Rahman Daud dilihat seolah-olah tenggelam dek populariti dua nama besar itu.

Hashim mempunyai rekod tersendiri apabila pernah menang pada PRK Arau pada 1998 dengan majoriti 1,323 undi menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim iaitu adik kepada Shahidan.

Namun BN kemudian kembali merampas Parlimen Arau sejak PRU 1999 hingga 2013.

Pada PRU13, Shahidan yang juga Pengerusi BN Perlis memenangi kerusi Parlimen Arau dengan menewaskan calon Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dengan majoriti 1,371 undi.

Hashim JasinArau
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular