PRN Sarawak: Calon muka baharu GPS ikrar bangunkan negeri

KUCHING - Calon-calon muka baharu yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 berikrar untuk meneruskan perancangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangunkan negeri ini.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak pada Jumaat mengumumkan, gabungan itu akan menampilkan 24 muka baharu yang akan menjadi calonnya pada PRN kali ini.

Datuk Ibrahim Baki yang dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok bagi mengantikan Abang Johari berkata, ketua menteri itu telah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang baik dalam membangunkan Sarawak.

“Sebagai contoh di kawasan Satok ini, ketua menteri telah menjalankan tugas yang baik dan meninggalkan tugas yang besar untuk saya laksanakan, dan jika saya menang, saya akan meneruskan legasinya dan hanya akan menambah baik beberapa perkara dengan tidak banyak perubahan.

“Semua yang akan saya lakukan sudah tentu sekali dengan tunjuk ajar daripada Abang Johari dan berasa sangat berbangga kerana diberikan peluang selepas memberikan khidmat kepada parti sejak 36 tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Kepada Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini.

Sementara itu, calon bagi DUN Krian, Friday Belik berkata, beliau yakin akan memperoleh kemenangan mudah di kawasan itu sekiranya mendapat kerjasama dan sokongan daripada penyandang kerusi itu Datuk Ali Biju daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Beliau berkata, buat masa ini belum ada perbincangan rasmi antara beliau dan Ali.

“Visi kita adalah untuk membangunkan kawasan Krian bersama-sama dengan semua rakyat, serta memastikan konsep Keluarga Malaysia yang sebenar dapat dilaksanakan,” katanya.

Bagi Nicholas Kudi Jantai Masing yang bakal menjadi calon di kawasan DUN Baleh menggantikan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing, beliau berjanji akan meneruskan legasi bapa saudaranya itu dalam membangunkan kawasan itu.

“Isu yang utama di kawasan pedalaman ialah isu pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar.

“Isu ekonomi di kawasan luar bandar akan menjadi agenda utama kita, bagaimana kita membina masa depan orang muda bagi kawasan Baleh, agar sama-sama maju seperti di bandar lain,” katanya.

Dalam pada itu, Milton Foo Tiang Wee yang sekali lagi bertanding di DUN Pending, yakin dapat merampas kawasan itu daripada penyandang Violet Yong Wui Wui daripada DAP, kerana tidak melihat perubahan di kawasan itu sejak beberapa penggal lepas.

“Kita perlu untuk membina semula Pending dan masanya adalah sekarang, dan dapatkan semula kawasan kita ini demi manfaat orang ramai dan kepentingan Sarawak,” katanya. - Bernama