Nur Jazlan desak Plus bangun Jalan Kempas Spur

JOHOR BAHRU - Penyandang Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendesak Plus Malaysia Berhad (Plus) menaik taraf Jalan Kempas Spur bagi menangani kesesakan trafik di kawasan itu.

Ia berikutan laluan sepanjang tiga kilometer itu kerap digunakan pengguna jalan raya lain sebagai alternatif memasuki kawasan bandar raya lalu menyebabkan berlakunya kesesakan teruk.

“Saya mahu Plus lebarkan jalan itu kepada enam laluan kerana jalan itu sekarang dah jadi laluan utama masuk ke Bandaraya Johor Bahru. Sekarang ini jalan itu hanya dua lorong dan selari dengan Jalan Skudai.

“Tetapi Jalan Skudai dah terlalu sibuk, sebab itu orang lari menggunakan laluan ini dan akhirnya berlaku kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pelebaran Jalan di Jalan Persiaran Bukit Kempas, semalam.

Hadir sama, calon BN Dun Kempas, Datuk Ramlee Bohani.

Nur Jazlan berkata, perkara itu memang tidak dapat dilakukan dengan cara lain memandangkan ia secara keseluruhan berada di bawah kendalian syarikat korporat tersebut selain mahu ia ditangani sebaiknya.

“Sebenarnya projek naik taraf ini Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) nak buat. Tapi itu bukan mereka punya, Plus bertanggungjawab ke atasnya. Mereka juga kena besarkan jalan bukan hanya dalam kawasan lebuh raya sahaja.

“Plus kena lebarkan jalan ini enam laluan sekurang-kurangnya, bagi menyediakan jalan alternatif lain daripada lebuh raya mereka susur keluar Kempas sampai ke Bandaraya Johor Bahru melalui jalan ini. Saya nak ia dibuat secepat mungkin,” katanya.

Pada majlis berkenaan, kerajaan negeri menerusi MBJB selaku pengendali projek telah memperuntukkan RM 2.5 juta untuk menaik taraf laluan dua lorong yang sedia ada kepada empat lorong.

Nur Jazlan MohamedJohor Bahru BN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :