TAMPIN – Calon PKR-Bersatu Dun Gemencheh, Saiful Adly Abd Wahab, 40, membuat kejutan di Ceramah Bersama Calon Pakatan Harapan di Bilik Gerakan PH Felda Bukit Jalor, Gemencheh, di sini, malam kelmarin untuk menyerahkan separuh dari gaji wakil rakyatnya sekiranya memenangi kerusi Dun Gemencheh pada PRU14 ini.
Pada ceramah itu, Saiful melancarkan janji untuk mewujudkan sebuah Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Anak Moncheh di mana separuh dari gajinya sebagai wakil rakyat pada setiap bulan akan disumbangkan terus ke dalam yayasan berkenaan.
Menurutnya, sebaik dia mula membuat keputusan untuk menerima tawaran menjadi calon wakil rakyat dia sudah membulatkan tekad bahawa dia akan berkhidmat kepada masyarakat di mana kebajikan dan kesenangan rakyat merupakan perjuangannya.
“Ini adalah konsep dari rakyat untuk rakyat. Saya ingin pastikan sebahagian dari ganjaran yang saya terima sebagai wakil rakyat untuk dikongsikan bersama dengan rakyat di Gemencheh ini.
“Separuh lagi dari gaji wakil rakyat akan digunakan untuk menggerakkan program-program yang juga untuk rakyat,” katanya sempena pengumuman janji terbarunya itu sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat dalam PRU14 ini.
Saiful berkata, Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Anak Moncheh berkenaan akan memfokuskan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat dan juga pembangunan masyarakat yang meliputi pembangunan ekonomi, sosial serta pendidikan.
“Yayasan ini akan diuruskan oleh ahli lembaga pengarah yang dilantik berdasarkan kepakaran masing-masing,” katanya.