Ahli keluarga politik PRU14

PRU14 kali ini menyaksikan pelbagai jenis dan latar belakang calon, ini termasuk calon-calon yang mempunyai pertalian keluarga mewakili pelbagai parti berentap bagi merebut kerusi Parlimen dan Dun.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah anak-anak bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Mohamad Abduh yang mewakili Pas bertanding di Parlimen Bachok, manakala Nik Omar mencetuskan kontroversi apabila mewakili PKR-Amanah di Dun Chempaka.

Kontroversi ini masih lagi hangat diperkatakan termasuk kesan kemasukan Nik Omar ke dalam Pakatan Harapan (Harapan) di Kelantan.

Nik Omar menjelaskan faktor mengapa beliau memilih Amanah adalah kerana beliau melihat Harapan lebih berdaya saing untuk menggantikan kerajaan sedia ada.

Selain dari itu, turut mendapat perhatian media adalah pertembungan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan adiknya iaitu selebriti kontroversi Azwan Ali yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dun Bukit Antarabangsa.

Di Sabah pula, satu lagi pertembungan ahli keluarga yang menyaksikan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan daripada BN dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada parti STAR  bertanding merebut kerusi Dun Tambunan.

Parlimen Tebrau pula menyaksikan Datuk Maulizan Bujang, mewakili BN bertanding di Parlimen Tebrau dan adiknya, Mazlan Bujang  yang merupakan Ketua Bersatu Tebrau bertanding di kerusi Dun Puteri Wangsa.

Sementara itu, seperti PRU yang lepas Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mewakili BN dan adiknya Khalid dari PKR-Amanah yang akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Johor Bahru dan Parlimen Shah Alam.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow akan bertanding kerusi Dun Tanjung Bunga mewakili Gerakan. dan abangnya, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim akan bertanding di Dun Bandar Baru Klang, Selangor.

Isu ahli keluarga bertanding dan menceburi bidang politik ini bukannya asing, ini terutama bagi pemimpin dari Pakatan Harapan yang secara tradisinya mempunyai ramai calon yang mempunyai pertalian keluarga

Ini termasuklah keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang akan bertanding di Parlimen Pandan dan anak mereka Nurul Izzah bertanding di kerusi tradisi keluarga Anwar, Parlimen Permatang Pauh.

Yang paling utama adalah kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di Parlimen Langkawi serta anaknya, Datuk Seri Mukhriz bertanding di Parlimen Jerlun dan Dun Jitra.

Bagi parti DAP pula terkenal dengan pemimpin utama mereka iaitu Lim Kit Siang mempertahankan kerusi Parlimen Iskandar Puteri di Johor dan Lim Guan Eng di Parlimen Bagan, Pulau Pinang.

Bagi anak-anak kepada bekas pengerusi DAP mendiang Karpal Singh pula iaitu Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Jagdeep Singh Deo akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Puchong, Parlimen Bukit Gelugor dan Dun Datuk Keramat.

Sementara itu bagi BN, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga Pengerusi BN Sabah akan mempertahankan kerusi Dun Sungai Sibuga, manakala adiknya Menteri Lua,r Datuk Seri Anifah Aman akan mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis.

Anak Musa pula, Yamani Hafez akan membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya apabila mewakili BN bagi kerusi Parlimen Sipitang.

Manakala di Perlis pula menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau, manakala adiknya Datuk Ismail Kassim akan mempertahankan Dun Tambun Tulang.

Bagi Gagasan Sejahtera pula Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang manakala anaknya Muhammad Khalil membuat penampilan pertama dalam pilihan raya di Dun Batu Buruk, Terengganu.

Di Perak, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria akan bertanding Dun Gunung Semanggol dan anak sulungnya, Muhammad Rif’aat, akan bertanding di Dun Kota Tampan.

Razman, 58, mengakui, kesibukan jadual kempen membuatkan mereka jarang berjumpa meskipun ada ketika pulang ke rumah yang sama.

“Sepanjang tempoh kempen ini, kami belum sempat lagi berjumpa, bersembang seperti dulu-dulu, kadang-kadang bila balik rumah keluarga di Lenggong, tak jumpa juga,” katanya.

Sebagai calon baru, Muhammad Rif’aat berkata, ayahnya banyak memberi pemahaman sebenar perjuangan dalam politik untuk dijadikan panduan ketika berkempen.

Katanya, gerakan kempen kali ini lebih fokus bertemu secara terus dengan pengundi bukan lagi melalui ceramah besar-besaran.

Beliau mengakui, dikenali sebagai anak ‘Haji Ramzan’ memberi kelebihannya untuk memperkenalkan diri sebagai calon kepada pengundi.

“Penduduk di sini pun kenal saya sebagai mudir di pusat tahfiz, jadi tak ada masalah untuk berkempen kerana mereka memang kenal saya dan keluarga saya di sini, katanya.

Nik Omar Nik Abdul AzizPKR PAS Pakatan Harapan AMANAH
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :