Siapa mampu tawan Kuala Terengganu?

KUALA TERENGGANU - Jika dilihat sejarah pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu, ia bersilih ganti antara BN dan Pas sejak sekian lama.

Namun, sejak Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu yang diadakan pada tahun 2009 berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail (BN), ia dikuasai Pas sehingga kini, dengan kemuncaknya pada PRU13.

Dalam PRU13, Pas yang diwakili Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendapat undian 45,828, menewaskan Datuk Mohd Zubir Embong (BN) yang beroleh 35,043 undi dan Maimun Yusuf (182 undi), seterusnya menang dengan majoriti yang besar, 10,785.

Bagaimanapun, situasi kini berbeza. Raja Bahrin yang dahulunya ayam tambatan Pas sudah beralih arah kepada Amanah.

Perpecahan Pas dan isu-isu semasa yang membelenggu parti pemerintah, membuatkan saingan dalam PRU14 kali ini dilihat lebih terbuka dan menjadi kayu ukur kekuatan sebenar parti masing-masing.

Raja Bahrin kembali mempertahankan kerusinya atas tiket Pakatan Harapan (Harapan), namun lawannya bukanlah calang-calang apabila berdepan dengan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Calon Pas juga tidak kurang hebatnya iaitu Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, seorang ahli perniagaan dan merupakan bekas Pengarah Urusan MSET Shipbuilding Corp Sdn. Bhd.

Jika dilihatkan peluang, ia masih lagi antara BN dan Pas. Bukan menidakkan kemampuan Harapan, tetapi walaupun Raja Bahrin popular di Terengganu, harus diakui tiada penghijrahan besar-besaran mengikutinya beralih kepada Amanah.

Berbanding dengan Pas, umum mengetahui penyokongnya setia dan taat kepada parti, yang menjadikannya satu kelebihan besar kepada parti itu dan calonnya iaitu Amzad.

Langkah BN meletakkan pegawai kanan kerajaan negeri untuk Parlimen Kuala Terengganu dilihat keputusan tepat di kalangan pemerhati politik memandangkan BN perlu mempertaruhkan calon yang mempunyai ‘X-Factor’ sebagaimana Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Dengan pengalamannya selama 37 tahun sebagai penjawat awam dan pernah menjadi Pegawai Kewangan Negeri, Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Setiu, dia sangat dikenali di kalangan penjawat awam dan orang kampung.

Pilih parti atau calon?

Bagaimanapun, melihatkan kepada situasi semasa, kita harus sedar pengundi kini bukan sahaja melihat kepada kehebatan calon, tetapi faktor parti harus diambil kira.

Jika tidak, siapa sangka, tsunami pengundi Cina pada PRU13 yang lalu yang menyebabkan Dun Bandar yang diwakili wakil MCA, Datuk Toh Chin Yaw rebah dan Parlimen Kuala Terengganu kalah 5-0.

Dengan ledakan media sosial yang memungkinkan segala maklumat di hujung jari, pengundi di bandar raya ini dilihat lebih terarah kepada isu nasional, berbanding penduduk di kampung yang lebih kepada isu masyarakat setempat.

Selain itu, harus diingat bahawa Dun Batu Burok dan Dun Wakaf Mempelam yang berada di Parlimen Kuala Terengganu sejak sekian lamanya menjadi kubu kuat pembangkang.

BN yang tersentak dengan kekalahan besar pada PRU13 lalu dilihat bekerja keras dalam tempoh lima tahun ini bagi memenangi hati rakyat. Adakah usaha itu sudah cukup dan mampu menawan hati pengundi Kuala Terengganu?

Berbanding Pas dan BN, Harapan perlu bekerja lebih keras kerana kekurangan jenteranya.

Raja Bahrin dilihat bekerja keras turun padang sejak Amanah mula ditubuhkan lagi, namun kayu pengukurnya masih belum jelas. Adakah pengundi memilih personaliti, atau parti?

Persoalannya kini, adakah Harapan mempunyai penyokong tegar yang akan menzahirkan undi, atau masih mengharapkan aura pemimpinnya dan parti untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja AhmadWan Nawawi Wan IsmailKuala Terengganu
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :