Janji calon muda BN Selayang

SELAYANG - Calon BN Parlimen Selayang berhasrat merancakkan ekonomi di kawasan tersebut dengan lima teras utama menjadikannya Greater Selayang.

Kang Meng Fuat, 36, berkata, lima teras yang akan menjadi fokusnya bagi pembangunan Selayang adalah ekonomi bertenaga, kejiranan selamat, kemudahan awam, komuniti bahagia dan indah, bersih serta hijau.

Menurutnya, Selayang adalah lokasi strategik bagi membuka peluang perniagaan dan industri dengan kos yang rendah berbanding Kuala Lumpur namun pembangunan ekonominya dilihat agak perlahan.

“Saya akan mengambil peluang membangunkan lebih banyak industri baru melalui zon perdagangan bebas digital (DFTZ), sebagai contoh Musang King boleh dihantar dari Pasar Borong Selayang ke Guangzhou, China pada hari yang sama.

“Menggalakkan lebih ramai belia memulakan perniagaan melalui skim bantuan kerajaan disediakan termasuk Skim Kredit Mikro E-Dagang BN dan Skim Pinjaman Kojadi oleh MCA,” katanya yang bakal berdepan dengan penyandang kerusi parlimen Selayang, William Leong dari PKR dan calon Pas, Datuk Hashim Karim.

Tambahnya, beliau berhasrat menggalakkan syarikat tempatan dan asing untuk menubuhkan pejabat dan gudang bagi meningkatkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.

Anak Melaka itu berkata, beliau menyahut cabaran parti MCA untuk menjadi calon dengan hati terbuka meskipun bakal bertemu dengan calon yang lebih berpengalaman.

“Dari segi pengalaman saya jauh ketinggalan namun saya masih muda dan bertenaga, idea saya juga lebih segar. Saya minta diberikan tunjuk ajar supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Selayang.

“Saya berkhidmat sebagai Setpol kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sejak 2007 bermula di Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pengangkutan, sedikit sebanyak pengalaman itu membantu saya mengetahui proses pentadbiran yang boleh saya gunakan untuk membangunkan Selayang,” katanya.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukan jika dipilih rakyat sebagai Ahli Parlimen Selayang, beliau akan membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai hadiah kepada warga Selayang.

“UTC adalah pusat perkhidmatan sehenti yang menempatkan 16 agensi kerajaan untuk memudahkan masyarakat setempat berurusan.

“Aspek penyelenggaraan dan pembangunan perumahan juga akan dikaji semula bagi mengatasi kekerapan masalah banjir disebabkan kepadatan penduduk di sini,” katanya.

Kang Meng FuatSelayang BN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :