Muar bukan 'test place': Hishammuddin

MUAR - Keghairahan calon luar untuk bertanding di Parlimen Muar dilihat tidak ubah seperti hanya mencuba nasib untuk memastikan kemenangan berbanding meneliti isu semasa dan permasalahan setempat.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini berikutan mereka gagal mengikuti perkembangan di sesebuah kawasan dan tentunya sukar bagi seseorang yang mahu diangkat sebagai pemimpin.

“Mereka yang datang dari luar tak tahu hujung pangkal, latar belakang Muar. Datang hanya nak eksploitasi situasi dan suasana. Saya percaya kita di Muar dah lama hadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Kita pun dah serik lihat Muar sebagai ‘test place’ pihak-pihak yang nak cuba nasib. Saya percaya rekod pencapaian sejarah akan tunjuk dan sedar bukan sahaja kepada golongan dewasa, tapi yang muda juga bahawa inilah wadah terbaik untuk bela rakyat di Muar tanpa mengira warna kulit, agama, latar belakang, warna kulit kerana perjuangan kita ikhlas dan jujur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Jalinan Kasih di Bangunan Umno Muar, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi BN Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang juga calon BN kerusi Parlimen Muar; calon BN kerusi Dun Maharani, Datuk Ashari Md Sarip dan calon BN kerusi Dun Sungai Balang, Zaiton Ismail.

Hishammuddin berkata, beliau berharap baki beberapa hari lagi ini akan dimanfaatkan oleh pengundi untuk menilai semula kemampuan barisan calon sebagai penentu dan masa depan di kawasan mereka.

“Sebab itulah saya harap sangat baki beberapa hari ni kita dekati seramai mungkin pengundi di Muar supaya tak dikaburi dengan isu yang dibawa dari luar.

“Harap anak-anak muda kita tak terpengaruh dengan sensasi dan isu emosi kerana akhirnya mereka (calon pembangkang) akan kembali ke kawasan masing-masing selepas kalah nanti dan yang tinggal hanyalah calon-calon wakil rakyat BN, mereka ni yang akan berkhidmat untuk kita di Muar,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengakui cabaran menangkis fitnah dan berita palsu di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab merupakan antara cabaran dalam kempen PRU.

Katanya, justeru calon dan jentera perlu menggembleng tenaga berjumpa seramai mungkin pengundi bagi memberitahu cerita sebenar terutama kepada golongan muda.

“Perang dalam media sosial ini menggambarkan persepsi yang pelbagai mengenai kerajaan BN. Tugas kita ialah lebih baik jumpa pengundi ini seramai mungkin.

“Perlu pastikan mereka faham isu. Ini adalah cabaran kita,” katanya.

Hishammuddin Hussein