DI sebalik wajah baharu dan slogan perubahan yang dilaungkan parti-parti bertanding, PRN Sabah ke-17 masih memperlihatkan politik negeri itu berputar dalam orbit lama iaitu dibayangi warlord, calon keluarga dan fenomena ‘katak politik’ yang belum lenyap.
Walaupun hampir separuh calon yang ditampilkan ialah muka baharu, struktur politik lapangan yang bertunjangkan jaringan pengaruh setempat dan budaya penaungan terus mendominasi corak sokongan.
Penganalisis politik tempatan, Iswardy Morni berkata, budaya politik Sabah masih berakar dalam konsep ‘politik naungan’, di mana pemimpin dilihat sebagai pelindung sosial dan ekonomi.
“Maknanya kebergantungan rakyat kepada pemimpin-pemimpin ni masih diperlukan... orang politik yang wajahnya sering dilihat penduduk setempat,” katanya.
Menurut Iswardy, realiti di lapangan menunjukkan budaya pemberian kecil seperti RM10 atau RM50 masih mempengaruhi pola sokongan kerana ia diterima sebagai norma politik luar bandar.
Bagi Iswardy, walaupun keadaan ini menampakkan ketidakmatangan politik, dari sudut persaingan demokrasi, Sabah sebenarnya lebih terbuka kerana banyak parti berani bertanding sehingga 73 kerusi DUN tanpa bergantung kepada kekuatan kerajaan.
Selain budaya bantuan dan pengaruh setempat, PRN kali ini turut menonjolkan satu fakta yang tidak boleh diabaikan - parti nasional berada dalam kedudukan paling lemah sejak beberapa siri pilihan raya negeri lalu.
PKR, walaupun parti pemerintah di peringkat Persekutuan, hanya bertanding di 10 kerusi. Situasi ini mencetuskan keresahan dalaman apabila beberapa calonnya terdiri daripada bekas wakil rakyat yang berpindah parti, lalu menguatkan persepsi ‘katak politik’.
Iswardy berkata, calon luar yang dibawa masuk turut mencetuskan rasa tidak puas hati pengundi tempatan yang lebih mengutamakan calon akar umbi.
Bagi Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung, persepsi bahawa politik Sabah didominasi nama-nama lama tidak sepenuhnya tepat.
Katanya, setiap parti boleh dikatakan berani menonjolkan sekurang-kurangnya 50 peratus muka baharu termasuk GRS sendiri, tetapi nama-nama baharu ini tenggelam kerana tokoh veteran terlalu menonjol.
Kuok Tiung menegaskan bahawa strategi menampilkan calon keluarga termasuk suami isteri atau adik-beradik bukan sekadar nepotisme, sebaliknya sebahagian mereka mempunyai merit serta pengalaman tersendiri.
Dalam konteks penolakan terhadap parti-parti Semenanjung, beliau mengakui wujud sedikit sentimen negatif tetapi tidak seteruk Sarawak.
Isu calon import menurutnya lebih kritikal, bahkan lebih sensitif daripada sejarah lompat parti.
“Parti-parti Semenanjung ini masih cuba ketengahkan calon yang reputasinya dipersoal termasuk yang pernah lompat parti seperti calon PKR DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar; Datuk Yamani Hafez Musa (Sindumin) dan Datuk George Hiew Vun (Karamunting).
“Adakah isu lompat parti ini beri kesan di Sabah? Saya rasa tidak begitu. Sebab bagi PKR, yang jadi fokus bukan sangat soal lompat parti, tapi ‘calon import’. Ini boleh dianggap sebagai tanda kematangan politik juga, bila parti sanggup terima calon luar demi realiti politik,” ujarnya.
Di sebalik kritikan yang dilemparkan, PKR mempertahankan pendekatan mereka. Timbalan Setiausaha Agungnya, Bryan Ng Yiih Min berkata, calon yang dibawa ke Sabah mempunyai integriti dan rekod bersih.
“Mereka semua mempunyai rekod bersih... super clean. Tidak pernah terlibat dalam kes rasuah, salah guna kuasa atau tuduhan lain,” katanya sambil menolak label ‘lompat parti’.
**media[3340810]**
Beliau menegaskan bahawa peralihan politik yang dibuat calon-calon berkenaan tidak wajar disamakan dengan pengkhianatan politik kerana mereka tidak pernah terpalit isu integriti.
Jika dihimpunkan, PRN Sabah kali ini memperlihatkan pertembungan tiga lapisan utama iaitu warlord yang masih memegang denyut sokongan akar umbi, parti lokal yang semakin menguasai naratif autonomi negeri, dan parti nasional yang bergelut menyesuaikan diri sebagai pemain kecil dalam gelanggang lebih besar.
Dengan lebih 25 parti lokal, nasional dan calon bebas bersaing dalam 73 kerusi DUN, ditambah komposisi demografi rencam merangkumi KDM, Melayu-Muslim, Bajau, Cina dan etnik lain, PRN kali ini bukan hanya pertarungan politik biasa, tetapi pertandingan identiti dan kuasa tempatan yang telah lama membentuk wajah politik Sabah.