DENGAN tumpuan seluruh negara kini barangkali diberikan kepada negeri Melaka yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 dalam tempoh kurang sebulan dari sekarang, ada baiknya jika kita melihat kerusi-kerusi marginal di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Kerusi marginal didefinisikan secara longgar sebagai kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya dengan margin kecil atau majoriti kecil.
Tidak ada angka tertentu dalam menakrifkan sekecil mana bilangan majoriti kerusi marginal ini; ada yang meletakkan margin 5 peratus sehingga 10 peratus daripada bilangan pengundi di satu-satu kawasan, malah ada juga meletakkan margin lebih kecil serendah dua peratus.
Namun di negara ini yang mempunyai julat pengundi kira-kira dari 20,000 hingga 120,000 bagi satu kawasan parlimen, ramai juga yang meletakkan angka bulat 1,000 sebagai titik rujukan bagi membezakan sama ada kawasan tersebut boleh dianggap sebagai kerusi marginal atau tidak.
Lazimnya, kerusi-kerusi marginal begitu diminati para parti yang bertanding kerana ia berpeluang dimenangi sesiapa pun ketimbang majoriti kecil yang diperolehi pemenangnya.
Sebelum dekad 2000-an, bilangan kerusi marginal di seluruh negara barangkali tidak banyak; mengambil kira dominasi besar Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya sejak kali pertama mereka bertanding sebelum merdeka, menggunakan nama Perikatan dengan logo kapal layar.
Sehinggalah Reformasi berlaku pada tahun 1998, dinamika politik tanah air berubah apabila buat kali pertama dalam sejarah negara, hegemoni BN tercabar selepas mereka tidak lagi selamat sebagai parti utama yang jadi pilihan rakyat setiap kali pilihan raya.
Kerangka PRU-14 tak boleh pakai
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 menyaksikan BN tumbang di lima negeri kepada lawan mereka, Pakatan Rakyat; Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Kelantan - rekod terburuk mereka sepanjang bertanding pilihan raya.
Ia hanya jadi bertambah teruk dalam PRU-14 pada 2018 apabila mereka kehilangan kuasa di peringkat persekutuan selepas tewas di tangan Pakatan Harapan (PH) yang perlahan-lahan membina pengaruh dan kekuatan sejak Reformasi 1998.
Selain itu, PH juga berhasil merebut Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang, dan mendapatkan kembali Perak.
Barangkali pada periode inilah rakyat mula diperkenalkan dengan istilah kerusi marginal yang pada satu sisi sebenarnya boleh ditakrifkan sebagai proses peralihan sokongan pengundi dari parti utama dan dominan, BN kepada parti-parti yang muncul lebih lewat seperti PKR dan DAP, malah Bersatu, Amanah dan Warisan yang muncul lebih terkemudian.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh ketika ditemui dalam satu wawancara dua tahun lalu mengakui inilah strategi PRU-14 yang mereka gunakan ketika merebut Johor dari UMNO walaupun negeri tersebut sejak sekian lama dianggap kubu kuat parti itu yang lahir di sana - 'menyerang' kerusikerusi marginal yang punya majoriti sekitar 1,000 undi.
Dan tidaklah pelik jika cara yang sama digunakan di seluruh negara - seperti yang dapat disaksikan lewat jelajah kempen Rafizi Ramli dengan trak #BinaSemulaNegara pra PRU-14 lalu.
Menuju PRU-15 dan yang lebih awal, PRN Melaka bulan depan, walaupun kerangka PRU-14 tidak boleh lagi diguna pakai, strategi 'menyerang' kerusi marginal juga barangkali tidak lagi relevan untuk digunakan, terutamanya oleh parti yang kalah tipis di kawasan-kawasan yang terlibat.
Sembilan kerusi marginal
Dalam konteks Melaka, dalam PRU-14 lalu, ada sembilan kerusi marginal yang punya majoriti bawah 1,000 malah dari kesemua kerusi ini, terdapat tiga kerusi dengan majoriti sekitar 300 undi dan ke bawah.
Sembilan kerusi tersebut adalah Merlimau dengan 130 undi, Asahan (275), Gadek (307), Rim (536), Lendu (627), Taboh Naning (740), Durian Tunggal (763), Pantai Kundor (772) dan Klebang (789). Perhatikan Merlimau (130), Asahan (275), dan Gadek (307).
Dipecahkan mengikut parti pula, dari sembilan kerusi tersebut, enam adalah milik UMNO iaitu Merlimau, Asahan, Rim, Lendu, Taboh Naning, dan Pantai Kundor.
Manakala tiga lagi kerusi iaitu Gadek, Durian Tunggal, dan Klebang masing-masing dimenangi DAP, Amanah, dan PKR.
Mengikut kebiasaan, jika diperhatikan kerusi-kerusi tersebut, PH mungkin menyangka mereka berpeluang merebut lima kerusi marginal milik UMNO itu.
Begitu juga sebaliknya, UMNO mungkin berasa berpeluang mendapatkan tiga kerusi marginal yang dimenangi DAP, Amanah dan PKR (di mana pandangan ini barangkali mempunyai asas yang kuat kini).
Namun selepas PRU-14, kita ada sekurang-kurangnya dua peristiwa besar yang berupaya mengubah lanskap politik Malaysia dalam jangka masa relatif singkat.
Pertama adalah penubuhan Muafakat Nasional (MN) melibatkan kerjasama UMNO dengan Pas, manakala yang kedua adalah Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri termasuk Melaka.
MN akan tumbangkan PH?
Penggabungan UMNO dengan Pas dalam MN terutamanya, mengubah sama sekali permainan di mana strategi ‘menyerang’ kerusi marginal tidak boleh lagi digunakan PH terhadap enam kerusi UMNO di atas.
Mereka kini bukan sahaja perlu mengambil kira majoriti tipis dalam PRU-14 lalu, malah perlu mengira juga undi yang diperolehi Pas dalam setiap kerusi tersebut setelah Pas jadi rakan sekutu UMNO dalam MN.
Ini sebenarnya meletakkan PH dalam kedudukan sukar kerana mereka kini bukan sahaja perlu membakulsampahkan strategi kerusi marginal, malah berpotensi kehilangan kerusi-kerusi yang mereka menangi PRU-14 lalu kepada MN yang menggabungkan undi-undi penyokong Pas dan UMNO.
Dalam situasi ideal di mana semua penyokong Pas dan UMNO bergabung menyokong calon mereka di bawah kerjasama MN, PH sebenarnya bakal kehilangan enam kerusi iaitu Durian Tunggal (Amanah), Telok Mas (Bersatu), Gadek (DAP), Bemban (DAP), Klebang (PKR), dan Duyong (DAP).
Ini sekaligus meninggalkan mereka kepada hanya sembilan kerusi daripada 15 kerusi minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.
Melainkan UMNO tidak menemui jalan kerjasama seterusnya dengan Pas dalam MN untuk PRN Melaka kali ini yang memungkinkan berlakunya pertembungan tiga penjuru, PH sebenarnya boleh membayangkan kekalahan mereka di negeri Hang Tuah itu November ini.