[ANALISIS] UMNO perlu terima hakikat, jika mahu berkuasa

SHAH ALAM- Pergolakan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini dilihat sudah sampai ke kemuncaknya dengan pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid menyifatkan keretakan kedua-dua parti itu semakin parah dan menasihatkan UMNO agar belajar menerima hakikat. 

"Saya melihat UMNO masih berfikir mereka mempunyai kerusi terbanyak dan oleh itu, mereka mahukan kuasa yang lebih. 

"UMNO perlu menerima hakikat, walaupun memiliki kerusi banyak, tapi UMNO masih memerlukan orang (parti) lain untuk membentuk kerajaan, ini UMNO perlu terima.

"Dalam konteks hari ini, UMNO atau BN tidak boleh berdiri sendiri. UMNO perlu berlapang dada untuk menerima bahawa ada parti yang boleh berdominasi. Setiap parti, bukan sahaja UMNO perlu menerima bahawa mereka perlu sokongan kepada parti lain," katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan sekarang sesebuah parti bersikap terbuka menerima parti lain menyertai gabungan kerjasama politik dan dilihat semakin memuncak terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Dr Hamidin menyifatkan gabungan kerjasama antara parti dilihat memberi signifikan terbaik buat sesebuah parti.

Malah beliau memberitahu, gabungan itu perlu dilakukan sebelum pilihan raya demi kestabilan politik.

"Gabungan kerjasama politik perlu dilaksanakan sebelum pilihan raya, supaya gabungan itu mempunyai satu hala tuju yang jelas, ke mana mereka hendak bawa negara ini kelak.

"Mungkin akan berlaku unsur negosiasi antara parti semasa gabungan kerjasama politik dibentuk.

"Bagaimanapun, sekiranya gabungan kerjasama berlaku selepas pilihan raya, akan berlaku di mana parti besar atau majoriti akan 'makan' yang kecil (parti kurang dominan), ini kerana sudah pasti siapa yang paling banyak kerusi akan dominan dan menentukan segala-galanya. Jika ini berlaku, sukar untuk membentuk sebuah polisi yang stabil," ujarnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, dalam konteks realiti pilihan raya ketika ini, tidak ada sebuah parti yang bersifat dominan. 

"Mungkin sesebuah parti ada kelebihan dari segi jumlah kerusi tetapi tidak ada sebuah parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri.

"Parti memerlukan kerjasama antara parti yang lain," jelasnya.

Pada Selasa, pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) memberi gambaran keretakan hubungan kedua-dua parti itu semakin parah dan tidak mampu disembunyikan lagi.

Perkembangan terbaharu itu juga rentetan krisis demi krisis yang berlaku sejak belakangan ini bermula dengan penyingkiran Menteri Besar Perak daripada Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu, seterusnya dakwaan lebih 60 peratus ketua UMNO Bahagian mengusulkan agar parti itu tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu.

Isnin lalu, kira-kira 150 Ketua Bahagian UMNO mengadakan pertemuan khas bersama pemimpin parti bagi membincangkan usul menolak kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, penganalisis lain turut bersetuju agar gabungan kerjasama politik dilakukan sebelum pilihan raya berikutan faktor kewangan.

Ujar Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, kebanyakan wakil rakyat tidak mempunyai sumber kewangan kukuh untuk bertanding pada pilihan raya.

"Jika mahu bertanding, individu itu perlu modal yang besar dan kewangan kukuh. Apabila mereka mewujudkan kerjasama politik antara parti, ia memberi manfaat.

"Berbeza jika seseorang ahli politik itu kaya, mereka boleh taja kumpulan anak muda yang mahu ceburi bidang politik bertanding di mana kerusi sekalipun, namun dengan perjanjian setelah menang akan sertai gabungan parti itu," katanya.

Sebelum ini, desas desus menyatakan Bersatu Bahagian Larut didakwa kononnya terdapat usaha 'mencuri' ahli UMNO di bahagian untuk menyertai parti itu.

Namun perkara itu disangkal oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Larut, Azurin Wahab memberitahu, perkara tersebut sangat tidak berasas sama sekali malah dakwaan mengatakan bahawa Bersatu membayar sejumlah wang kepada mereka yang mengisi borang Bersatu di Larut baru-baru ini merupakan satu pembohongan.

Menurutnya, Bersatu Bahagian Larut sentiasa terbuka menerima kemasukan ahli baharu tanpa mengira mereka daripada parti mana.

UMNO Bersatu
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :