SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas pihak tertentu yang bertindak mengiklankan tawaran 'berbayar' kepada mana-mana pempengaruh media sosial untuk menghasilkan bahan-bahan bagi menghentam beliau.
Dr Akmal berkata, beliau terkejut apabila menjumpai beberapa hantaran iklan dimuat naik di beberapa grup komuniti pempengaruh media sosial tempatan di Facebook bertujuan mengupah mana-mana pempengaruh untuk menghasilkan konten TikTok dan Instagram membidas beliau serta mempertahankan pengurusan rangkaian serbaneka KK Mart.
Menurutnya, penularan iklan berkenaan dipercayai berpunca daripada tindakan beliau tampil mengecam penjualan sandwic 'ham and cheese' yang mempunyai logo halal di kedai KK Mart di Universiti Malaya (UM) serta membangkitkan kembali kontroversi stoking kalimah ALLAH yang 'masih belum sembuh'.
Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri Melaka menegaskan beliau tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan mengkritik isu kontroversi susulan yang berlaku di kedai KK Mart dan percaya tindakan itu dibuat demi agama, bangsa dan tanah air.
"Sampai nak kena cari orang dan berbayar ke nak hentam saya. Patut lain macam 'fake' akaun naik.
"Kamu boleh upah orang hentam saya, upahlah beribu orang sekali pun, tetapi sedikit pun saya tidak akan berganjak.
"(Ini) kerana saya percaya saya buat ini demi agama, bangsa dan tanah air saya," kata Dr Akmal menerusi hantaran Facebooknya pada Selasa.
Setelah isu penjualan sandwic 'ham and cheese' dikecam Dr Akmal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk berkenaan yang didapati dijual di kedai KK Mart di UM, tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Pendedahan itu membawa kepada pengurusan UM menutup serta-merta dua premis jualan runcit 24 jam berkenaan dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
Pendedahan Dr Akmal bagaimanapun dibidas kepimpinan MCA dan DAP dengan mereka mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu sengaja mempolitikkan isu penjualan sandwic 'ham and cheese' berkenaan tanpa mempedulikan kesan buruk daripada persekitaran perniagaan di Malaysia.
Sementara itu, berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, pihak yang menaikkan hantaran iklan menawarkan upah bagi membidas Dr Akmal, akan menjanjikan ganjaran wang tunai RM200 hingga RM250 bagi setiap konten dihasilkan.
Pihak berkenaan turut menetapkan syarat setiap pempengaruh berminat perlu mempunyai jumlah pengikut sekurang-kurangnya 2,000 orang, dengan bahan media sosial dihasilkan perlu menghentam Muhamad Akmal serta mempertahankan pengurusan KK Mart.
Dalam pada itu, Dr Akmal menegaskan beliau tidak pernah menawarkan sebarang ganjaran tunai kepada mana-mana pihak yang mahu mempertahankan tindakannya.
Tambahnya, beliau percaya hanya ALLAH SWT mampu membalas pendiriannya serta mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong inisiatif itu.
"Saya tiada duit pun nak bagi kepada orang yang pertahankan saya, hanya ucapan terima kasih ikhlas dari diri saya dan hanya ALLAH sahaja mampu membalasnya.
"No fear no surrender! (Tidak perlu gentar, tidak perlu menyerah!)," kata Dr Akmal lagi.