Bersih gesa lantik segera pengerusi baharu SPR

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak kerajaan supaya segera melaksanakan reformasi pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, reformasi pelantikan itu amat mustahak kerana Abdul Ghani yang akan bersara wajib pada Mei depan berkemungkinan besar mempunyai tanggungjawab mengkaji serta melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menurut Bersih, ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan serta kemandirian SPR.

"Bersih turut menggesa kerajaan supaya meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang kali terakhir dibuat pada 2003 tanpa sebarang pindaan signifikan.

“Kami telah melakukan bengkel libat urus dengan hampir semua parti politik utama di Malaysia dan gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) selama lebih dua tahun bermula 2019 hingga 2021,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Abdul Ghani bakal bersara wajib pada Mei dan sehingga kini SPR masih mempunyai satu kekosongan ahli suruhanjaya iaitu ahli SPR bagi Sabah.

Mengulas lanjut, Bersih mencadangkan mekanisme pelantikan ahli SPR perlu melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya supaya proses tersebut dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.

“Kami juga mengingatkan bahawa manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan pelantikan bagi jawatan utama seperti pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masa yang lama kerana jawatan ini akan dikosongkan pada bulan hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Bersih turut memaklumkan berkaitan hasil libat urus terbabit, terdapat 19 seksyen dalam akta yang perlu dipinda seperti rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan.

Tambahnya, keperluan memasukkan peruntukan baharu bagi memodenkan akta seiring zaman seperti larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen, mengaudit belanja pilihan raya oleh calon dan memperkasakan kuasa SPR dengan memberikan kompaun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!