Tiada perbincangan antara GRS-Pejuang, kata Armizan

PAPAR - Tiada sebarang perbincangan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mana-mana pihak termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, GRS melibatkan pelbagai komponen dan perkara sedemikian perlu dibincangkan bersama antara parti.

"Saya fikir perkara ini tidak berbangkit lagi dalam mana-mana mesyuarat di peringkat GRS dan yang penting bukanlah pandangan saya tetapi GRS ini parti yang melibatkan pelbagai komponen jadi ia perlu dirunding dan dibincangkan.

"Tetapi apa yang saya boleh yakinkan sebagai salah seorang ahli jawatankuasa GRS di peringkat pusat tidak ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak lain selain kerangka GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus, itulah kerjasama yang ingin kita perkukuhkan pada masa ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pelaksanaan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya hasrat Pejuang yang berminat untuk menjalin kerjasama dengan GRS pada PRN akan datang.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, komitmen GRS ketika ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan dengan PH Plus sebagai rakan yang bersama-sama membentuk kerajaan Sabah.

"Komitmen kita untuk menyelesaikan mandat rakyat ini adalah melalui kerangka kerjasama dalam GRS-PH Plus.

"Jadi sebarang cadangan lain ia tidak boleh daripada mana-mana individu di peringkat GRS untuk memberikan pandangan tetapi ia perlu untuk dapat konsensus dalam kerangka kerjasama sedia ada antara GRS-PH Plus," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Papar itu melihat perkembangan itu sebagai positif di mana ia menunjukkan pihak di luar sana yakin dengan komitmen GRS mentadbir kerajaan Sabah.

"Kalau orang tidak yakin, orang tidak akan ada nafsu untuk bekerjasama dengan kita, jadi saya melihat itu positif sebagai alah satu bentuk pengiktirafan kepada GRS dan kita akan teruskan komitmen kita untuk menunaikan amanah rakyat dalam kerangka GRS-PH Plus," katanya.

Sabtu lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan parti di Sabah termasuk GRS bagi menghadapi PRN yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, GRS ketika ini selesa dengan PH Sabah untuk menerajui kerajaan negeri.

Justeru katanya, tidak ada sebab untuk gabungan parti tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung.

Menurutnya, GRS akan menumpukan usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat di samping terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan PH Sabah.

"Sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan.

"GRS amat menghargai sambutan positif serta perasaan selesa majoriti rakyat Sabah terhadap kerajaan GRS-PH Plus," katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!