umno bahagian padang besar anjur program derma darah

KANGAR - Biro Penerangan Umno Bahagian Padang Besar menganjurkan Program Nilai Setitik Darah 4.0 bagi menambah tabungan darah di Unit Transfusi Jabatan Patologi Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis.

Penyelarasnya Solah Huddin Omar berkata, beliau berpuas hati dengan sambutan yang diberikan para penderma darah pada program yang dianjurkan untuk kali yang keempat pada setiap Ramadan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Padang Besar menyatakan setiap tahun  sambutan semakin menggalakkan yang diberikan oleh para penderma.

"Ini kerana kesedaran umum yang semakin baik tentang keperluan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan," katanya.

Tambahnya lagi, program ini yang juga merupakan acara tahunan Biro Penerangan Umno Bahagian Padang Besar akan terus dijalankan bagi menarik lebih penderma darah pada masa depan melalui program seumpama itu.

Beliau yang ditemui ketika menyelaras Program Nilai Setitik Darah 4.0 di Unit Transfusi HTF malam tadi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Padang Besar yang juga Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin yang sentiasa menyokong program seperti ini dan juga para penderma darah yang sudi meluangkan masa selepas solat tarawih untuk menderma darah masing-masing.

"Semoga usaha murni ini dapat membantu pesakit yang memerlukan darah selain menambah keperluan darah di Hospital Tuanku Fauziah Kangar pada musim perayaan yang bakal menjelang tidak berapa hari lagi," katanya.

Umno Padang Besar Perlis
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :