Ambil risiko berhenti jadi guru untuk sertai PRK DUN Slim

TANJUNG MALIM - "Saya akui mengambil risiko apabila berhenti dari menjadi guru, tetapi inilah hasrat dan niat saya untuk bantu rakyat," kata calon Bebas, S Santharasekaran, 44.

Menurutnya, tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini memberikannya perspektif baharu bahawa tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat juga sebenarnya tidak ubah seperti seorang guru.

"Setiap hari di sekolah kita dengar dan bantu masalah murid, guru, pekerja dan sebagainya, samalah juga halnya sebagai wakil rakyat.

“Sepanjang tempoh berkempen ini, saya pergi ke setiap kawasan pengundi untuk mendengar dan mencatit masalah mereka, saya dapati segala masalah ini ada ruang masing-masing untuk dibantu dan saya akan cuba menyelesaikannya apabila menjadi wakil rakyat nanti," katanya.

Beliau yang menggunakan simbol buku memberikan fokus kepada isu pendidikan, alam sekitar, ekonomi dan sosial, antaranya memastikan golongan muda mendapat pendidikan dan peluang pekerjaan yang tinggi.

Pihaknya berpuas hati dengan maklum balas daripada rakyat yang menyambut baik kehadirannya di setiap lokasi turun padang tidak kiralah di kawasan majoriti pengundi Melayu, Cina, India mahupun orang asli.

"Menang atau kalah dalam pilihan raya ini adalah satu perkara biasa kerana lebih penting, pencalonan saya pada PRK kali ini menerima reaksi positif daripada rakyat.

"Mana-mana saya pergi mereka ucapkan tahniah, di situ nampak yang mereka sebenarnya menyokong adanya perubahan dan saya selalu percaya niat yang baik pasti akan dibalas dengan baik," katanya.

 

PRK DUN Slim S Santharasekaran calon Bebas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :