PRN Polis kesan individu khianat kain rentang cetus isu 3R di Kelantan

KOTA BHARU - Polis Kelantan menggerakkan hampir kesemua 'Team Cantas Kontinjen'' dan pasukan di bawah Ketua Polis Daerah dalam usaha mengesan dan menahan individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat kain rentang, bendera parti dan isu 3R (raja, agama, kaum).

Sehingga kini polis mengesan enam perbuatan khianat terhadap kain rentang dan bendera parti di tiga daerah di negeri ini susulan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan polis yang diterima bermula Sabtu hingga Rabu itu membabitkan masing-masing satu di Tumpat dan Kuala Krai dan empat di Kota Bharu.

Menurut beliau, perbuatan khianat dilakukan dengan cara mencabut serta menjatuhkan bendera parti dan merosakkan kain rentang.

"Polis kini giat menjalankan operasi dan siasatan terperinci akan dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat pihak terbabit.

"Kita tidak akan teragak-agak menahan mana-mana individu bukan sahaja pelaku tetapi pendorong, perancang atau yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan ketua parti, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mengawasi ahli penyokong bagi memastikan keharmonian dalam proses pilihan raya kali ini.

Muhamad Zaki juga mahu pelaksanaan proses berkempen dilakukan secara sihat, harmoni dan mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, peruntukan undang-undang semasa yang lain juga diguna akan pakai dalam kesalahan ini.

Tambah beliau, selain itu tindakan tegas akan diambil oleh kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu berkaitan 3R.

"Polis juga sudah memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memuat naik berita di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terutama menyentuh isu-isu 3R," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkaitan boleh menghubungi hotline Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7455622 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Kelantan