PRK KKB: Kerajaan kena telus jawab isu rakyat

HULU SELANGOR - Kerajaan Perpaduan dilihat gagal memberi penerangan jelas berkenaan isu semasa dihadapi rakyat.

Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin, 50, berkata, PRM menuntut kerajaan telus dalam memberi pencerahan melalui isu-isu semasa yang akan diketengahkan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

"Banyak isu semasa yang diutarakan di media sosial ditapis jadi kita mahu ketelusan daripada kerajaan memberikan penerangan supaya rakyat diberikan pencerahan.

"Mewakili PRM, kita mahu isu-isu dibangkitkan ini diberitahu rakyat secara jelas tanpa selindung termasuk isu vaksin, harga barang naik dan lain-lain," katanya selepas proses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada Sabtu.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao; Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut diikuti, Hafizah dan Bebas, Nyau Ke Xin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei ini sebagai tarikh undi awal sementara hari pengundian pada 11 Mei 2023.

**media[2629469]**

Hafizah yang juga Penolong Ketua Penerangan PRM memaklumkan manifesto PRM akan dimaklumkan dalam masa terdekat dengan penumpuan kempen meliputi kawasan tumpuan pengundi.

Sementara itu, Ke Xin, 27, berkata, beliau mahu menggunakan platform PRK bagi membantu rakyat mengetengahkan isu ekonomi yang membimbangkan ketika ini.

Ke Xin yang pertama kali menjadi calon pilihan raya memaklumkan, mengambil masa selama dua minggu sebelum membuat keputusan menyertai PRK Kuala Kubu Baharu.

"Saya mahu mewakili rakyat menyuarakan isi hati rakyat yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi sekarang.

"Saya akan gunakan dana sendiri untuk berkempen dan cuba sebaik mungkin untuk gerak kerja sepanjang 14 hari berkempen," katanya.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam turut memaklumkan akan memfokuskan aspek sukan, pendidikan dan pembangunan anak muda serta ekonomi dalam manifestonya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!