PRN Awan Kelantan sokong cadangan kesaksamaan wanita

KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan menyokong cadangan kesaksamaan terhadap calon wanita dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim juga mengulangi pendirian supaya wanita diberikan peluang dalam proses membuat keputusan akhir khususnya dalam PRN.

Menurut beliau, wanita yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan hanya dua daripada 45 atau 4.4 peratus iaitu sangat jauh daripada sasaran 30 peratus yang dipiawaikan di peringkat antarabangsa.

"Jumlah 30 peratus itu signifikan dan bermakna untuk membawa perubahan kepada semua lapisan masyarakat," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, kumpulan aktivis pemerkasaan wanita, Women in Power menyeru parti politik supaya menyokong kesaksamaan calon wanita dalam PRN.

Mereka menggesa parti politik dan pihak berkepentingan menyokong objektif meletakkan 50 peratus calon wanita.

Dalam pada itu, Dr Hafidzah memberitahu, Awan bersetuju bahawa jawatankuasa pemilihan semua parti politik perlu memastikan wanita yang dicalonkan dapat mengetengahkan kepentingan golongan itu.

"Pimpinan tertinggi juga perlu menempatkan calon di kawasan yang menjadi kekuatan kepada parti selain mengutamakan ahli yang cemerlang membantu rakyat," katanya.

Kelantan