Hui Ying tak mahu bakat belia Melaka disia-siakan

SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying berhasrat membantu golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan melalui platform e-dagang.

Menurut Hui Ying, bakat hebat anak muda di Melaka tidak seharusnya dipersia-siakan sebaliknya bakat itu perlu diasah supaya memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

"Sekiranya mandat diberikan kepada saya, saya pasti akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan kusahawanan di kalangan belia.”

"Justeru itu, saya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam pelaksanaan Langkah Tindakan Ekonomi Digital Malaysia untuk menggalakkan golongan belia menceburi bidang e-dagang," katanya menerusi satu klip video bertajuk ‘Suara Untuk Semua’ yang disiarkan di platform Youtube.

'Suara Untuk Semua' adalah saluran yang disediakan bagi setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyampaikan ideologi politik dan dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

 

Perhebat tarik pelabur

Dalam pada itu, Hui Ying turut memberi jaminan bahawa beliau akan memperhebat usaha untuk menarik minat pelabur asing ke Melaka.

"Usaha untuk menarik pelabur asing ke Melaka akan diperhebat agar dapat memberi manfaat kepada warga Kesidang dan negeri Melaka secara keseluruhannya," tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Leong Hui YingPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :