Buat apa tunggu lama, hantar segera notis - Syed Abu Hussin

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa segera menyerahkan notis pengosongan kerusi kepada enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perdana Menteri tanpa perlu menunggu sehingga selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Bersatu perlu berbuat demikian secepat mungkin kerana mereka yang menyokong Perdana Menteri sudah lama bersedia menghadapi tindakan susulan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti itu, baru-baru ini.

“Isunya mudah sahaja, jika Bersatu tidak menghantar notis kekosongan kerusi, kami tidak boleh buat apa-apa. Sebaiknya pemimpin Bersatu jangan bercakap sahaja kerana parti sudah meminda perlembagaan dan diluluskan oleh RoS, jadi teruskan sahaja dengan menghantar notis kekosongan kerusi Parlimen dan DUN secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Premium.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menjelaskan, beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ke mahkamah jika perlu bagi mempertahankan statusnya.

“Sebagai ahli parti saya menunggu apa sahaja sebarang makluman atau tindakan oleh pucuk pimpinan parti dan bersedia untuk ke mahkamah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi pada PRU lalu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan Bersatu dalam proses mengambil tindakan terhadap enam ahli Parlimennya yang bertindak menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tindakan yang akan diambil adalah berlandaskan kepada pindaan yang dibuat oleh parti sebelum ini.

Muhyiddin turut berkata, parti sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu dengan mengambil langkah-langkah yang sudah dipersetujui dalam tempoh tujuh hari.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan parti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!