'Bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan, prinsip UMNO tak berubah'

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, prinsip perjuangan UMNO tidak pernah berubah walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh DAP.

Beliau berkata, parti itu tidak pernah apologetik (menyesali sesuatu perbuatan yang telah terlanjur) dalam soal perjuangan khususnya berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan bumiputera serta raja-raja Melayu.

“Jangan rasa bersalah, jangan apologetik bercakap soal Islam. UMNO tidak pernah meninggalkan asas perjuangannya malah akan terus membela agama.

“Walaupun hari ini UMNO berada bersama Kerajaan Perpaduan namun prinsipnya tidak luntur sama sekali seperti dakwaan sesetengah pihak dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas.

“Dalam hal ini UMNO tidak akan mungkin menggadaikan perjuangan Islam dan Melayu. Sebab itu UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas asas untuk jaga prinsip-prinsip perjuangan kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa, UMNO tidak pernah mengikut mana-mana telunjuk pihak lain.

Ujarnya, UMNO terus konsisten dalam perjuangan biarpun ketika menjadi pembangkang sehingga menganjurkan perhimpunan tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) apabila perlembagaan dicabar.

Tambah beliau, matlamat perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan institusi raja-raja Melayu.

“Kalau melibatkan Islam, Melayu atau bumiputera, kita tidak akan sewenang-wenangnya mengalah,” katanya.

Tambah Asyraf Wajdi, UMNO bukan parti sembarangan, jalanan atau lahir atas rasa kekecewaan.

Ujar beliau, parti itu dibentuk daripada perjuangan bagi membina negara bangsa dan menyatukan seluruh orang Melayu di tanah air.

“Sedangkan banyak parti politik yang lahir kemudiannya adalah serpihan daripada UMNO iaitu asalnya adalah hasil daripada perjuangan UMNO namun akibat rasa tak puas hati, ada rasa kecewa dan sebagainya keluar meninggalkan parti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak anggota parti untuk terus dalam tekad mengembalikan kekuatan UMNO.

Ujarnya, biarpun ada pihak yang memfitnah dan mengejek UMNO namun kepimpinan parti tidak pernah bertindak sedemikian.

“Pemimpin tidak pernah ajar kita memperlekeh pihak lain. Kita ikhlas berjuang atas nama agama maka jangan sesekali meremehkan perjuangan kita dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

“Perjuangan kita belum selesai dan tidak akan pernah selesai demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!