Penyertaan PRM, Bebas tidak beri kesan di PRK KKB

SHAH ALAM - Penyertaan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak memberi sebarang kesan atau pengaruh besar dalam pertembungan empat penjuru itu.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ia berikutan kedua-dua calon tersebut dilihat tidak mempunyai sokongan kukuh dari segi persaingan malah, berkemungkinan berdepan risiko kehilangan wang deposit masing-masing.

**media[2630941]**

“Jika dilihat secara menyeluruh, dua calon lain sama ada Bebas dan PRM ini, bagi saya ia tidak memberi apa-apa kesan kerana pertamanya mereka tidak mempunyai sokongan dan kali ini pertembungan sama seperti sebelum ini iaitu lebih tertumpu pada dua gabungan parti besar iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi, pada saya kedua-dua wakil itu tidak akan mendapat apa-apa sokongan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Marthada, ketika ini, gelombang yang ada di PRK Kuala Kubu Baharu lebih kepada pertembungan antara calon Melayu dan bukan Melayu seperti kawasan-kawasan lain.

“Kalau kita lihat kawasan lain semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, jika majoriti di kawasan tersebut adalah Melayu maka kecenderungan untuk pengundi Melayu menyokong calon Melayu itu tinggi, sebab itu PN mengemukakan calon Melayu.

“Bagaimanapun, dalam kawasan di mana Melayu tidak mempunyai majoriti dan kali ini kita lihat bahawa peratusan pengundi India serta Cina juga besar. Pengundi India seramai 18 peratus manakala pengundi Cina dalam 37 peratus.

“Ini juga memberi gambaran bahawa kebergantungan kepada pengundi bukan Melayu juga adalah sangat penting, sebab itu saya melihat pertembungan lebih terarah kepada PN dan juga PH,” ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, serangan peribadi yang dilontarkan terhadap calon PRK disifatkan sebagai tidak terlalu agresif dan merupakan perkara biasa dalam politik.

“Sudah menjadi lumrah pilihan raya apabila analisa terperinci terhadap seseorang calon itu akan dilakukan terutama melihat kepada latar belakang diri, pendidikan dan sokongan ahli keluarga terhadap ahli-ahli politik.

“Bukan sahaja orang luar, bahkan pengundi juga mahu pastikan calon bertanding itu mempunyai integriti dan salah satu aspek sudah tentu latar belakang pendidikan yang akan diambil kira kerana hari ini kita memerlukan calon mempunyai latar pendidikan baik dan integriti tinggi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!