PRK KKB: MIPP jamin PN akan terima undi terbesar kaum India

HULU SELANGOR - Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) memberi jaminan Perikatan Nasional (PN) akan menerima undian terbesar daripada kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), 11 Mei depan.

Presidennya, S P Punithan berkata, pihak lawan dilihat mula menunjukkan kebimbangan dan rasa takut dengan kekuatan yang dimiliki PN ketika ini selepas MIPP menyertai parti gabungan.

"Baru tiga hari kami melangkah masuk (sertai PN), sudah enam ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) 'bantai' kita. Maksudnya mereka sudah bimbang dan tahu masyarakat India tidak akan mengundi mereka di PRK kali ini.

"Ini PRK sahaja bukan Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi kenapa pemimpin PH bimbang dan takut? Tak perlu takut, kita lihat 11 Mei nanti bila undi dikira kita tahu siapa yang rakyat mahukan sebenarnya," katanya ketika menyampaikan pidato sempena Majlis Pengumuman Calon PN PRK KKB pada Khamis.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, MIPP secara rasmi diterima sebagai anggota penuh PN.

PRK DUN KKB diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu dari DAP, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian, 7 Mei pula hari pengundian awal dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN KKB adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lalu iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!