Calon Bebas nafi jadi proksi mana-mana parti

HULU SELANGOR - Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Nyau Ke Xin menafikan dirinya menjadi proksi mana-mana parti untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Menurut wanita berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik.

"Mengenai hal ini (dakwaan proksi parti politik) saya ada buat (maklum balas) di TikTok mengatakan saya bukan proksi atau diupah mana-mana parti untuk bertanding.

"Malah, saya juga ada membuat surat akuan bersumpah mengenai perkara ini bagi menafikan dakwaan tersebut.

"Saya juga harap pihak yang tidak bertanggungjawab segera menghentikan tohmahan dan fitnah ini," katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan manifestonya di pekan Kuala Kubu Baharu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan dirinya menjadi proksi parti politik tertentu untuk bertanding pada PRK kali ini.

**media[2637624]**

Menurut Ke Xin yang juga pengurus di salah sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor, beliau memilih untuk bertanding pada pilihan raya kali ini kerana beranggapan sudah tiba masa untuk berbuat demikian.

"Saya sertai PRK DUN Kuala Kubu Baharu ini atas kemahuan diri saya sendiri yang ingin membuat perubahan dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu, wanita 29 tahun berkenaan menawarkan 20 tawaran menerusi manifestonya bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu ini.

Antara 20 kandungan manifesto tersebut ialah mengkaji secara terperinci isu dan masalah perolehan tanah oleh individu dan rumah ibadat bukan Islam.

Selain itu, memastikan harga barang keperluan ruji dan basah sentiasa dipantau serta memastikan kemudahan kesihatan sentiasa tersedia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!