Calon Bebas fokus semua rakyat Kuala Kubu Baharu

HULU SELANGOR - Tidak memfokuskan kumpulan umur atau kaum tertentu menjadi agenda utama calon Bebas, Nyau Ke Xin sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Menurut anak jati kelahiran Sabak Bernam itu, tumpuan sama rata akan diberikan kepada pengundi di kawasan berkenaan agar tiada yang tertinggal dalam mendapat pembelaan sewajarnya.

"Fokus saya adalah semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain selari dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

"Jadi, kita tidak beri tumpuan kepada kelompok tertentu sahaja kerana antara sebab utama saya sertai pilihan raya ini adalah untuk membantu rakyat.

"Ekonomi negara semakin menurun, kos sara hidup semakin meningkat. Oleh sebab itulah, saya ambil platform PRK ini untuk suarakan ketidakpuasan hati rakyat," katanya.

**media[2637700]**

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan manifestonya bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu ini.

Ke Xin sebelum itu melancarkan manifesto yang mengandungi 20 inisiatif bagi meraih sokongan pengundi.

Antara 20 inisiatif yang ditawarkan itu ialah mengkaji secara terperinci isu-isu dan masalah perolehan tanah oleh individu dan rumah ibadat bukan Islam.

Tawaran lain ialah memastikan harga barang keperluan ruji dan basah sentiasa dipantau serta memastikan kemudahan kesihatan sentiasa ada.

Sentiasa memastikan keadaan lampu jalan dan jalan raya dalam keadaan baik, mewujudkan pusat khidmat rakyat yang bertugas tujuh hari seminggu.

Turut ditawarkan ialah, mewujudkan pusat sehenti untuk kaunter pembayaran bil utiliti, mewujudkan pengangkutan khas untuk warga emas yang ingin mendapatkan khidmat pengangkutan ke hospital dan menyediakan khidmat van jenazah secara percuma untuk warga Kuala Kubu Baharu.

Inisiatif selanjutnya, mewujudkan satu jawatankuasa khas pembasmian B40 miskin tegar dan satu menubuhkan unit tindak cepat untuk membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah dengan kerjasama agensi kerajaan.

Selain itu, memastikan program pendidikan dan kursus kepimpinan pelajar sekolah DUN Kuala Kubu Baharu dan melaksanakan portfolio sukan teras dan sukan lasak untuk semua masyarakat.

Menjadikan Kuala Kubu Baharu sebagai destinasi pelancongan dari segi foodie karnival, aktiviti pendakian gunung bertaraf antarabangsa dan barang kraftangan.

Seterusnya, mewujudkan perniagaan yang menjana pendapatan, memudahkan proses perolehan lesen perniagaan, pembaharuan lesen dan permohonan gerai perniagaan.

Turut ditawarkan ialah membantu kontraktor tempatan mendapatkan projek membaik pulih, menyasarkan sekolah rendah dan menengah untuk program biasiswa pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Inisiatif seterusnya ialah pemberian bayaran pendaftaran pelajar yang menempah diri ke universiti awam dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kempen kesedaran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!