'MCA bantu cara lain'

SHAH ALAM - Pendirian MCA untuk tidak terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu hanya dilihat sebagai kenyataan rasmi parti itu, namun bagi menghormati hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, MCA dijangka bersama membantu calon Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, keterangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu hanya sekadar jawapan balas terhadap kenyataan yang dibuat oleh pimpinan DAP.

Menurutnya, sudah tentu sesebuah parti itu mahu menunjukkan bahawa mereka memiliki pendirian tegas terhadap sesuatu.

“Memang itu secara rasmi pendirian tetapi kita lihat bahawa kepentingan Kerajaan Perpaduan itu lebih penting. Walaupun kita dapati pendirian itu jelas, namun atas dasar semangat perpaduan, mereka juga akan bantu dan mungkin konteks bantuannya berbeza.

“Saya menjangkakan kerjasama antara MCA dan Kerajaan Perpaduan akan berlaku kerana mengambil kira pandangan Perdana Menteri agar semua gabungan bekerjasama,” katanya pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ka Siong tetap dengan pendirian tidak akan melibatkan MCA dengan kempen PRK kali ini yang dijangka mempertaruhkan calon DAP.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming yang berharap Barisan Nasional (BN) ‘membalas jasa’ Pakatan Harapan (PH) kerana memenangkan calon UMNO pada PRK DUN Pelangai tahun lalu.

Tambah Ahmad Martadha, MCA mungkin akan melakukan tindakan sama seperti UMNO yang sebelum ini pernah menzahirkan pendirian untuk tidak bekerjasama namun disebabkan dasar kepentingan, mereka tetap membantu calon bukan daripada parti itu.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan kemelut MCA dan DAP, beliau berkata, Anwar perlu mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin parti berkenaan.

“Saya pasti, Perdana Menteri akan mengambil langkah untuk jumpa bukan sahaja MCA dan DAP malah MIC juga. Ini kerana ketiga-tiga parti itu menjadi perbualan ‘hangat’ pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

“Ketiga-tiga parti itu mempunyai peranan dalam Kerajaan Perpaduan, sudah pasti Anwar tidak akan membiarkan hal ini terus berlanjutan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!