Orang Melayu mampu jadi king maker - Pakar

SHAH ALAM - Pengundi Melayu yang merangkumi 46 peratus daripada 40,226 pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu menjadi king maker atau faktor utama penentu sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 11 Mei depan.

Perkara itu realistik kerana difahamkan dianggarkan 46 peratus daripada 40,226 pemilih layak mengundi pada PRK 11 Mei depan adalah pengundi Melayu diikuti Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus).

Pensyarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, biarpun undi simpati terutama daripada kaum bukan Melayu mungkin berpihak kepada PH-DAP, namun, ia bukan satu jaminan untuk mereka mampu mempertahankan kerusi yang ditinggal oleh mendiang Lee Kee Hiong.

Ujarnya, antara faktor lain mempengaruhi kemenangan calon PH-DAP atau PN ialah peratusan keluar mengundi dan sama ada berlaku undi protes orang Melayu atau tidak terutama golongan muda berikutan perkembangan politik semasa negara muktahir ini.

“PH-DAP mungkin bergelut untuk mempertahankan kerusi yang disandang oleh Kee Hiong sejak tahun 2013 jika peratus keluar mengundi terutama kaum bukan Melayu rendah semasa hari pengundian nanti.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan PN akan meletakkan calon Melayu sama ada daripada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding dalam PRK kali ini kerana rasional terdapat 46 peratus daripada lebih 40,000 pengundi di Kuala Kubu Baharu ialah orang Melayu,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengundi Melayu terutama orang muda bakal menjadi king maker bagi menentukan sama ada koalisi PH-DAP atau PN bakal memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi terbabit, mendiang Kee Hiong, 58, akibat komplikasi penyakit kanser pada 21 Mac lalu.

Berikutan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Bharu ditetapkan pada 11 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pada pilihan raya negeri yang lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN Henry Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Tambah Awang Azman, beliau melihat pelantikan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah tepat.

Tambahnya, isu peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari UMNO Selangor, tidak akan memberikan impak besar kepada sokongan orang Melayu terhadap calon PH-DAP dalam PRK nanti.

Bagaimanapun, Awang Azman melihat isu penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di bawah Akta Hasutan terkait isu stoking tertera kalimah ALLAH dan KK Mart mampu memberikan kesan positif kerana beliau dianggap ‘hero’ yang mengangkat kepentingan dan suara orang Melayu-Islam di Malaysia sekarang.

Sementara itu, pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, biarpun orang Melayu mewakili kumpulan terbesar pengundi di Kuala Kubu Baharu, namun ia bukan kelebihan kepada PN untuk menang kerusi terbabit kerana mereka tetap memerlukan undi bukan Melayu.

Berikutan itu jelas Mazlan, dari segi demografi calon PH-DAP mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerusi terbabit kerana populasi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus dengan majoriti kaum Cina dan India berdiri teguh di belakang parti mewakili Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan Selangor.

“Sebab itulah DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu selama tiga penggal berturut-turut sebelum ini,” ulasnya

Mazlan juga menolak ramalan bahawa PH-DAP akan meletakkan calon Melayu untuk berhadapan dengan calon PN yang berkemungkinan daripada parti Gerakan untuk bertanding.

“PH mempunyai peluang lebih cerah jika mereka meletakkan calon bukan Melayu terutama kaum Cina bertanding dalam PRK nanti kerana DAP mungkin menghadapi kesukaran dan ditolak pengundi tegarnya daripada kaum Cina jika mereka meletakkan calon Melayu.

“Saya juga tidak nampak UMNO mampu membantu DAP menarik undi Melayu dan memenangi kerusi itu dalam PRK nanti biarpun Ketua Pemuda UMNO dianggap wira dalam isu stoking tertera kalimah ALLAH baru-baru ini,” katanya.

Ujarnya, keputusan PRK Kuala Kubu Baharu penting kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan kerana ia menjadi penanda aras dan adakah reformasi diperkenalkan kerajaan diterima baik oleh rakyat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28