PSM dan Muda sedar kemampuan parti

SHAH ALAM - Tindakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan bahawa gabungan parti politik terbabit tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini adalah tepat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana biarpun PSM bergabung tenaga dengan Muda, namun peluang untuk mereka menandingi sumber kewangan dan kekuatan jentera kempen dua koalisi utama politik negara iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) adalah ibarat langit dengan bumi.

Katanya, sebelum ini, PSM dan Muda pernah meletakkan calon untuk merebut kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, namun mereka gagal menandingi kekuatan dua koalisi politik berkenaan.

Malah Sivamurugan berpandangan, Muda dan PSM turut menyedari bahawa PRK bukan hanya memerlukan jentera parti yang ramai, tetapi sumber kewangan kukuh termasuk untuk kegunaan logistik, bahan kempen dan ceramah, selain pembukaan pusat media.

“Biarpun ada individu bertanding atas tiket Bebas namun akhirnya kerusi DUN Kuala Kubu Baharu bakal menjadi milik sama ada calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan atau PN.

“Antara faktor menentukan calon dari parti mana akan menang PRK bergantung kepada peratusan keluar mengundi, undi protes, kemarahan, isu dan sentimen tertentu dimainkan sepanjang kempen terutama agama, etnik, sabotaj dan rasa tidak puas hati.

“Dalam keadaan ini setiap undi menjadi penting biarpun ramai meramalkan keputusan PRK pada 11 Mei nanti juga bergantung kepada undi kaum India yang mewakili 18 peratus daripada keseluruhan lebih 40,000 pengundi berdaftar di DUN Kuala Kubu Baharu sekarang,” katanya kepada Sinar Premium.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Bebas, Nyau Ke Xin.

Berikutan itu, Sivamurugan menjelaskan semua calon perlu menganggap setiap undi adalah penting biarpun keputusan PRK DUN Kuala Kubu Baharu tidak akan mengubah siapa bakal berkuasa di Putrajaya mahupun menukar Kerajaan Perpaduan di Selangor.

Kemenangan mana-mana koalisi juga kata Sivamurugan bergantung kepada apa yang berlaku sepanjang 14 hari kempen PRK Kuala Kubu baharu berlangsung mulai.

“Biarpun wakil PH, mendiang Lee Kee Hiong memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 4,000 undi pada PRN lalu, namun tidak semestinya koalisi berkenaan akan diberikan kemenangan mudah oleh PN,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!