MCA tak bantu kempen, bukan keluar kerajaan

SHAH ALAM - MCA tegas dengan pendirian tidak mahu membantu gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sehingga Mei depan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara tersebut di peringkat biro politik kerana ramai berpendapat penglibatan parti tersebut tidak penting.

“Ada yang cakap MCA bantu atau tidak, ia takkan mempengaruhi kempen, jadi mengapa masih sasarkan kami lagi?

“Kalau semua pihak rasa MCA ini lemah atau tiada pengaruh, biarlah. Pentingkah untuk kami berada di sana (KKB)?

“Tambahan pula, perjalanan dan proses PRK sudah bermula,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih berharap MCA akan dapat membantu jentera Kerajaan Perpaduan berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh khusus bagi tujuan tersebut, selain yakin suasana akan berubah apabila ‘kedukaan’ MCA kembali reda kelak.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa MCA mengisytiharkan keluar daripada BN dan Kerajaan Perpaduan, Sin Woon menafikan perkara terbabit dan bertegas akan tetap bersama dengan pemerintahan kerajaan semasa.

“Dakwaan ini tak betullah, kami tak pernah umum nak keluar daripada Kerajaan Madani.

“Kami masih lagi dengan kerajaan, tiada isu mengenai perkara tersebut,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!