Najib terdedah ancaman keselamatan

SHAH ALAM - Peguam, Haniff Khatri Abdulla tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Najib Tun Razak diberi layanan berbeza berbanding banduan lain di penjara, namun perkara itu perlu atas faktor keselamatan.

Haniff Khatri bagaimanapun berkata, ia bukanlah layanan istimewa dua darjat seperti didakwa sesetengah pihak atau diberikan hidangan mewah.

“Kita kena bezakan dua perkara iaitu layanan berbeza demi keselamatan banduan tersebut, atau layanan berbeza yang memberi lebih keistimewaan. Itu dua perkara yang berlainan.

“Seperti Datuk Seri Najib, beliau merupakan bekas Perdana Menteri yang menjalani hukuman penjara. Mestilah ada antara banduan lain yang mungkin membenci beliau.

“Maka dalam keadaan ini, keselamatan banduan tersebut memerlukan layanan yang berbeza,” katanya.

Menurut beliau, jika diberi layanan sama seperti banduan-banduan lain, Najib mungkin terdedah kepada ancaman keselamatan.

Ujarnya, perbezaan layanan ini tidak hanya terpakai kepada bekas pemimpin negara, malah bekas hakim dan bekas pimpinan tertinggi polis.

“Banduan lain mungkin ingin membalas dendam kalau bertemu dengan mereka ini. Jadi mesti dalam keadaan tertentu perlu layanan yang berbeza atas faktor keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Haniff Khatri berkata demikian mengulas dakwaan penceramah, Wan Ji Wan Hussin yang dipetik Malaysiakini pada Khamis mendakwa ada melihat Najib di Penjara Kajang, namun menerima ‘layanan sangat istimewa’ berbanding banduan lain.

“Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah,” kata Wan Ji, sambil menambah Najib ditempatkan di ‘blok istimewa’, berbeza dengannya.

Wan Ji baru dibebaskan pada 22 Mac lalu selepas beberapa bulan menjalani hukuman penjara berikutan sabitan kes hasutan dikaitkan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun 2014.

Sementara itu, Haniff Khatri berkata, dakwaan Wan Ji tersebut tidak jelas, seolah-olah baling batu sembunyi tangan dalam mendedahkan isu keistimewaan Najib di penjara.

“Minta dia huraikan dahulu apa maksudnya layanan istimewa itu. Kena faham dahulu apa itu layanan istimewa ini.

“Lainlah kalau dia dedahkan Najib makan lima kali sehari, sarapan pagi ala Inggeris, atau makan tengah hari hidang udang galah,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28